Bunuh diri: Solusi MB Kelantan buat solat hajat atas jambatan dipersoal
Solusi kerajaan Kelantan untuk mengurangkan kes bunuh diri di Jambatan Tendong, Pasir Mas dengan mengadakan solat hajat di atas jambatan tersebut, undang persoalan ramai.
Dilaporkan, Menteri Besar Kelantan, Datuk Nassuruddin Daud bakal mengetuai solat hajat di atas jambatan berkenaan esok ekoran pertambahan kes bunuh diri di situ yang mencecah 17 kes.
Perkembangan itu menghairankan orang ramai, berpendapat kerajaan Kelantan sepatutnya hadir dengan solusi lebih berkesan bagi mengelakkan lebih ramai yang bunuh diri di jambatan itu.
Mereka juga mengatakan, solat hajat kebiasaannya dilakukan di lokasi yang baru sahaja dibangunkan, dan tidak ada yang melakukan solat hajat hanya kerana banyak kes bunuh diri.
“Solusi bunuh diri cara Kelate, solat hajat di lokasi kejadian.
“Bunuh diri di Kelantan, solusinya bukan solat hajat di atas jambatan. Tapi keadaan ekonomi yang amat perlahan di negeri tersebut
“Menteri Besar memberi solusi dari sudut agama sahaja walhal kes membunuh diri ini kena kaji punca akarnya,” kata seorang pengguna Facebook Al Jazani.
Ada juga yang membandingkan dengan kes bunuh diri di Jambatan Pulau Pinang, di mana kerajaan negeri tidak pernah menyeru agar diadakan solat hajat di jambatan tersebut.
“Rupanya masih ada lagi fahaman macam ni. Sebenarnya kat Pulau Pinang pun sejak dulu lagi ramai juga bunuh diri kat jambatan Pulau Pinang tetapi tiada pula Mufti Pulau Pinang arahkan buat solat hajat dekat jambatan.
“Buat kat Masjid pun boleh rasanya sebab Allah kan maha mengatahui segalanya,” ujar Asuwadi.
Kali terakhir solat hajat diadakan pun ketika jambatan kedua Pulau Pinang baru disiap dan belum dibuka kepada pengguna jalan raya.
Sebelum ini media melaporkan, sebanyak 17 kes terjun jambatan direkodkan di Kelantan dalam tempoh empat tahun bermula 2021.
Susulan itu, kerajaan Kelantan mengambil ikhtiar mengadakan solat hajat di kawasan itu.
Bagaimanapun ia dipersoal ramai kerana berpendapat solat hajat tidak mengurangkan hakikat orang ramai yang berdepan dengan kesempitan hidup sehingga mendorong melakukan hal tidak wajar.
BACA JUGA Menantu Hadi pernah cakap pengampunan Najib jalan terbaik menurut Islam