‘Sedut dulu baru pergi sekolah’, KKM bakal ambil tindakan
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan mengambil tindakan segera terhadap penjualan produk yang seakan-akan vape atau ‘Energy’ Stick’ yang kini giat dijual dan dipromosikan menerusi sosial media.
Produk penyedut hidung itu adalah terkini di pasaran dan mula popular dalam kalangan pelajar sekolah yang dijual secara berleluasa dengan harga serendah RM2.50 sehingga RM10 sahaja.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, berkata beliau beliau telah menerima laporan mengenai penjualan produk tersebut dan telah mengarahkan pihak yang bertanggungjawab untuk melakukan siasatan lanjut.
“Saya sudah awal menerima ‘alert’ ini. Langsung saya beritahu kepada Ketua Pengarah Kesihatan dan Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan akan aduan yang saya terima daripada sosial media.
“Kita (KKM) akan mengambil tindakan segera berhubung perkara itu,” katanya kepada media selepas merasmikan Hari Kesedaran Kanser Hati sempena Hari Kanser Sedunia 2024 hari ini.
Sebelum ini, sebuah hantaran di laman Facebook Public Health Malaysia (PHM) mendedahlan produk tersebut dijual secara berleluasa kepada pelajar sekolah.
Produk itu mempunyai dua corong yang muat ke lubang hidung dan boleh disedut melalui hidung terus ke paru-paru.
Katanya, jika diperhatikan, pengambilan produk itu sama seperti pengambilan dadah melalui hidung ‘snorting’ dan secara psikologinya adalah sangat negatif kerana menggalakkan pengguna untuk mencuba bahan lain termasuk dadah.
“Produk penyedut hidung ini dipromosikan sebagai produk untuk memberi tenaga dan untuk memberi kesegaran kepada pengguna. Ada penjual menggunakan ‘tagline’ ‘Sedut dahulu, baru pergi sekolah’ dan ‘Sedut dulu baru mulakan kerja’.
“Ia bersaiz kecil, hanya sebesar pemetik api, berwarna warni dan didatangkan dengan pelbagai perisa menarik,” katanya.
BACA JUGA Dr Zulkifli jawab dakwaan sanggup berhenti jadi mufti sebab nak tebuk atap
Â