Tindakan disiplin ke atas Hassan Karim belum diputuskan
Tindakan disiplin ke atas Hassan Karim belum diputuskan kerana belum bermesyuarat, kata ketua penerangan PKR Fahmi Fadzil.
Ini adalah ekoran kelantangan Hassan menyuarakan pandangan terhadap pelbagai isu. Terbaru ialah kenyataan Hassan bahawa Umno menumpang dahan PH.
“Kita tunggulah, waktu ini belum diadakan mesyuarat, jadi perkara itu (tindakan disiplin) tidak timbul,” katanya ringkas ketika ditemui media selepas menghadiri Forum Pemerkasaan Belia di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.
Fahmi mengulas kenyataan Hassan bahawa parti Umno perlu diterajui muka baharu dan tidak hanya ‘menumpang dahan’ Pakatan Harapan (PH) pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang diakuinya ‘rapuh’ berdepan Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
Hassan sebelum ini telahpun memaklumkan bahawa dirinya bersedia dan terbuka sekiranya PKR mahu mengambil tindakan disiplin atau memecat selain mengakui tidak akan gentar dalam mempertahankan hak bersuara mengenai pelbagai perkara termasuk menyentuh perihal parti sekutu Kerajaan Perpaduan.