Adik Abdul Taib buat laporan polis

Adik Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud membuat laporan polis berhubung dakwaan bekas Yang di-Pertua Negeri Sarawak itu dibawa keluar ketika menerima rawatan di sebuah hospital pakar di Kuching.

Datuk Muhammad Tufail menerusi laporan polis yang turut tular itu, meminta polis untuk menyiasat dakwaan tersebut.

Tufail berkata, beliau dan ahli keluarga terdekat akan meminta pihak berkaitan bertanggungjawab jika sebarang kejadian tidak diingini berlaku ke atas Abdul Taib yang dilaporkan tidak sihat dan memerlukan pemerhatian serta rawatan yang sewajarnya di hospital.

Abdul Taib dan isterinya, Ragar Kurdi

Tufail membuat laporan itu selepas dimaklumkan mengenai laporan polis awal yang dibuat oleh doktor hospital swasta bertugas.

Dalam laporan sama, Tufail berkata, beliau dan ahli keluarga tidak mengetahui kedudukan semasa dan status kesihatan atau perubatan Abdul Taib.

Tahun lalu, Abdul Taib dilapor lebih dua bulan cuti rehat susulan rawatan di luar negara dan tampil di khalayak buat pertama kali dalam perhimpunan dan perarakan Maulidur Rasul peringkat negeri pada 28 September 2023.

Abdul Taib berkahwin dengan Toh Puan Ragad Kurdi Taib pada 18 Disember 2010 iaitu lebih setahun selepas kematian Datuk Patinggi Laila Taib pada 29 April 2009.

BACA JUGA Agong perkenan kurnia surat cara pelantikan TYT Sarawak hari ini