Terima kasih, tetapi masih hutang RM12,000, kata Mujahid kepada Dusuki

Timbalan Presiden AMANAH, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof berharap seorang ustaz Pas, Ahmad Dusuki Abd Rani menyelesaikan baki jumlah hutang beliau sebanyak RM12,000 lagi dengan kadar segera.

Dalam masa yang sama, Mujahid mengucapkan terima kasih kepada bekas Ahli Jawatankuasa Dewan Ulama Pas itu kerana telah membayar RM11,000 dari jumlah tuntutan ekoran kes saman menyaman mereka berdua.

Lanjutan dari itu, beliau telah mengarahkan peguamnya untuk menarik balik Saman Penghutang Penghakiman -bagi maksud membolehkan aset Dusuki disita – yang ditetapkan untuk pendengaran di Mahkamah Sesyen Shah Alam Jumaat ini.

“Saya ucapkan terima kasih atas pembayaran kos tersebut. Namun demikian, suka saya ingatkan bahawa Ustaz Dusuki masih lagi terhutang kepada saya jumlah kos penghakiman sebanyak RM12,000.

“Ia antaranya membabitkan RM7,000 untuk kos rayuan beliau yang telah ditolak oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 2 Mei 2023 dan kos sebanyak RM5,000 untuk kos rayuan beliau yang telah ditarik balik di Mahkamah Rayuan Putrajaya pada 23 Ogos 2023,” katanya dalam kenyataan semalam.

Mujahid berkata, beliau telah memfailkan dan menyerahkan Saman Penghutang Penghakiman kepada Dusuki untuk tuntutan kos penghakiman di Mahkamah Tinggi Shah Alam dan tarikh perbicaraan telah pun ditetapkan pada 15 Februari ini.

“Saya berharap agar Ustaz Dusuki dapat menyelesaikan baki jumlah tuntutan saya sebanyak RM12,000 tersebut secepat yang mungkin supaya tindakan-tindakan guaman yang sedang berjalan ketika ini dapat dihentikan dan kita dapat memfokuskan kepada perkara-perkara lain yang lebih penting dan besar manfaatnya kepada ummah,” ujarnya lagi.

Kos-kos ini semuanya adalah berkaitan dengan kes yang difailkan oleh Dusuki terhadap Mujahid berhubung dakwaan penjualan aset Tabung Haji kepada orang bukan Islam.

Kes tersebut telah melalui perbicaraan dan rayuan di tiga peringkat Mahkamah, yang mana keputusan akhir memihak kepada Mujahid.

Pada awal Januari lalu, Harapan Daily melaporkan Dusuki masih belum melangsaikan hutangnya sebanyak RM23,000 kepada Mujahid biarpun sudah empat bulan dituntut berbuat demikian.

Bayaran itu merangkumi kos RM11,000 di Mahkamah Sesyen, RM7,000 di Mahkamah Tinggi dan RM5,000 di Mahkamah Rayuan. 

BACA JUGA Dusuki masih ‘hilangkan diri’, tak bayar lagi hutang RM23,000