Berita baik buat penjawat awam, insentif RM2,000 dibayar 23 Februari ini

Bayaran insentif awal Kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam sebanyak RM2,000 kepada penjawat awam akan dibayar pada 23 Februari ini.

Khabar baik itu diumumkan sendiri Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, ketika menyampaikan amanat pada majlis perhimpunan bulanan bersama warga Kementerian Kewangan hari ini.

Anwar berkata, ia akan membabitkan bayaran insentif sebanyak RM2,000 kepada semua penjawat awam gred 56 ke bawah termasuk lantikan kontrak.

“Turut disalurkan sebanyak RM1,000 kepada semua jawatan utama sektor awam membabitkan polis, bomba, tentera, angkatan bersenjata dan seluruh anggota beruniform.

“Bayaran insentif RM1,000 turut disalurkan kepada semua pesara kerajaan termasuk veteran berpencen serta veteran tidak berpencen,” katanya.

Insentif itu sebelum ini diumumkan Perdana Menteri pada pembentangan Belanjawan 2024 pada 13 Oktober tahun lalu.

BACA JUGA Terima kasih, tetapi masih hutang RM12,000, kata Mujahid kepada Dusuki