Pengurangan hukuman Najib dijangka tidak jejaskan ringgit, pasaran saham – Pakar

 Pakar ekonomi menjangkakan pengurangan hukuman bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak tidak memberi impak besar sehingga boleh menjejaskan prestasi mata wang tempatan dan pasaran saham secara berlebihan.

Geostrategis dan Felo Kanan Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara (NASR), Profesor Madya Dr Azmi Hassan berkata, pengurangan hukuman Najib hanya memberi sedikit impak terhadap ringgit.

Namun ia tidak menyumbang kepada impak berlebihan berikutan kerajaan masih stabil dan asas ekonomi kekal tidak terjejas secara langsung.

“Pelabur asing dijangka menilai semula secara positif, mengambil kira Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri di samping kestabilan kerajaan, termasuk Umno.  

“Kestabilan kerajaan mungkin akan dinilai semula secara positif. Malaysia mematuhi kedaulatan undang-undang dalam memberikan pengampunan kepada Najib, walaupun beliau bekas perdana menteri.

 “Pematuhan kepada prosedur undang-undang memberi keyakinan pelabur asing bahawa Malaysia beroperasi dalam lingkungan undang-undang, sekali gus meningkatkan keyakinan terhadap komitmen kerajaan terhadap proses undang-undang,” kata Azmi seperti dilapor akhbar News Straits Times (NST).

Pengurangan hukuman terhadap Najib dijangka menjana tindak balas pasaran yang positif walaupun tidak keterlaluan.

Azmi berkata, aspek yang lebih penting ialah kesan terhadap kestabilan kerajaan, yang disifatkan lebih mantap dengan keputusan mengurangkan hukuman Najib.

 “Peningkatan kestabilan ini berkemungkinan meningkatkan keyakinan pelabur, baik di dalam negeri mahupun di kalangan pelabur asing. 

“Jangkaan ialah dasar ekonomi semasa akan kekal tidak berubah sehingga pilihan raya umum akan datang,” katanya lapor Business Times.

BACA JUGA Jasmine Loo dijangka beri keterangan berkait 1MDB minggu depan