Selepas periksa lebih 5,700 individu, ini ganjaran RM20,000

Ganjaran RM20,000 ditawarkan kepada mana-mana pihak yang membantu polis sehingga suspek yang membunuh kanak-kanak autism, Zayn Rayyan berjaya ditangkap.

Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) Selangor mengemukakan tawaran itu selepas polis sudah memeriksa 5,786 individu dan 216 kenderaan.

Menurut Timbalan Pengerusi MCPF Selangor, Datuk Seri A Thaiveegan, pemberian ganjaran itu dibuat melalui Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Selangor dalam usaha membantu menyelesaikan kes pembunuhan kanak-kanak terbabit.

“MCPF Selangor bersedia menawarkan ganjaran sebanyak RM20,000 kepada sesiapa yang boleh membantu memberikan maklumat kepada Polis Selangor untuk menangkap suspek dan dituduh dengan kesalahan itu.

“Ini inisiatif pihak MCPF Selangor yang sudah dipersetujui Pengerusi kami, Tan Sri Dr Jeffrey Cheah,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam, hari ini.

Sementara itu, Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan yang mempengerusikan sidang media sama berkata, polis setakat ini masih tidak menemui sesuatu yang kukuh untuk menjurus ke arah individu yang terbabit dalam kes pembunuhan Zayn Rayyan.

“Itu kesulitan yang dialami oleh pihak polis.

“Kita tidak jumpa satu keterangan fizikal atau keterangan verbal yang nampak boleh menjurus ke arah satu individu yang melakukan perbuatan ini.

“Walaupun kita sudah cuba dan pelbagai usaha dilakukan, dari awal Disember hingga kini dua bulan lebih kita berada di tempat itu menyiasat dan juga tempat lain yang difikirkan wajar.

“Kita juga menggunakan bantuan teknikal, tetapi masih belum menemui sesuatu yang dapat menjurus ke arah penangkapan individu itu, tetapi polis masih meneruskan usaha mengesan pihak yang melakukannya,” katanya.

Ini fakta mengenai pemeriksaan yang dilakukan oleh Polis Kontinjen Selangor terutama Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) dibantu pasukan Bukit Aman:

1) 1,613 unit rumah diperiksa

2) 5,786 individu diperiksa

3) 216 kenderaan diperiksa

4) 17 individu ditangkap

5) 243 kenyataan sudah diambil

6) Rakaman daripada 15 sistem kamera litar tertutup (CCTV) diperiksa

7) 168 item barang kes dipungut di tempat kejadian serta pelbagai tempat lain

8) 262 sampel asid deoksiribonukleik (DNA) daripada individu diambil

9) 42 rumah menjalani pemeriksaan forensik

10) Khidmat lapan anjing pengesan unit K9 sebanyak enam kali digunakan

11) Khidmat bomba, jabatan perhutanan serta Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) turut digunakan.

Â