Fitnah Sultanah Terengganu: Rewcastle-Brown dipenjara 2 tahun
Akibat memfitnah Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah, Clare Rewcastle-Brown, 65, dijatuhi hukuman penjara dua tahun di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu hari ini.
Majistret Nik Mohd Tarmizie Nik Mohd Shukri memerintahkan hukuman penjara bermula daripada tarikh sabitan iaitu hari ini selepas editor Sarawak Report berkenaan didapati bersalah terhadap pertuduhan.
Sebelum ini, mahkamah mengeluarkan waran tangkap terhadap wanita yang berasal dari United Kingdom itu kerana gagal menghadirkan diri untuk dituduh berkaitan kes berkenaan.
Perbicaraan kes dijalankan secara ‘in absentia’ (tanpa kehadiran) mengikut Seksyen 425A Kanun Tatacara Jenayah.
Rewcastle-Brown berdepan pertuduhan mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan kerana mengeluarkan kenyataan berunsur fitnah melalui buku The Sarawak Report-The Inside Story of the 1MDB Expose.
Sultanah Nur Zahirah sebelum ini memfailkan saman fitnah terhadap Rewcastle-Brown berhubung fitnah dalam buku itu dan menuntut ganti rugi am sebanyak RM100 juta.
Sultanah Nur Zahirah yang memfailkan saman pada 21 November 2018 mendakwa kenyataan berbaur fitnah itu antara lain bermaksud baginda terbabit dalam amalan rasuah serta mencampuri urusan pentadbiran kerajaan negeri Terengganu.
Kenyataan itu juga mengatakan baginda menggunakan status untuk mempengaruhi penubuhan Lembaga Pelaburan Terengganu (TIA) yang kemudian dikenali sebagai 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Sultanah Nur Zahirah juga mendakwa kenyataan itu membawa maksud baginda membantu ahli perniagaan dalam buruan Jho Low atau Low Taek Jho menjadi penasihat TIA.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Engku Ahmad Rashdi Engku Abdillah, Mohd Khairuddin Idris dan Nur Amalina Najwa Mohd Ali.
Sebelum ini, Rewcastle-Brown didakwa di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu secara tanpa kehadiran tertuduh pada 23 September 2021.
Namun, dia membuat pemohonan untuk memindahkan kes tersebut ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, K Muniandy pada 21 Jun 2023 menolak permohonan Rewcastle-Brown untuk memindahkan kes berkenaan dari Mahkamah Majistret Kuala Terengganu ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
Muniandy memerintahkan supaya kes itu kekal dibicarakan di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu.
Kes itu sepatutnya diteruskan ke perbicaraan tanpa sebarang halangan lagi memandangkan tarikh pertuduhan sudah lama iaitu pada 23 September 2021.
BACA JUGA 1MDB: Saksi paling dinanti-nantikan bakal beri keterangan minggu depan