Pembangunan telekomunikasi Malaysia ke-15 terbaik di dunia

Malaysia berada di kedudukan ke-15 dunia dan ketiga di rantau ASEAN dalam pembangunan telekomunikasi.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menerusi kenyataan hari ini memaklumkan negara telah meraih skor sebanyak 94.5 daripada jumlah keseluruhan
100 mata.

Jelasnya, angka tersebut melepasi skor purata global iaitu 72.8 mata, sekali gus
menunjukkan pencapaian cemerlang ke arah mencapai sasaran Kesalinghubungan Sejagat dan Bermakna (Universal and Meaningful Connectivity).

Indeks Pembangunan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) 2023 (IDI 2023) antara lain melaporkan bahawa Malaysia telah hampir mencapai liputan sejagat bagi rangkaian mudah alih 4G/LTE, langganan jalur lebar mudah alih yang tinggi serta harga yang lebih rendah untuk perkhidmatan jalur lebar tetap dan mudah alih.

“Malaysia turut merekodkan kadar penggunaan internet, pemilikan telefon bimbit dan trafik internet yang tinggi.

“Kesemua pencapaian berkenaan jelas menunjukkan akses yang mapan kepada perkhidmatan digital serta penglibatan digital secara meluas di Malaysia,” menurut kenyataan itu.

Mengulas perkembangan itu, Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, pencapaian tersebut mencerminkan komitmen berterusan kerajaan untuk merealisasikan kesalinghubungan sejagat dan bermakna buat semua rakyat Malaysia, dengan keterangkuman sebagai pemacu utama dalam memastikan perkhidmatan komunikasi adalah merata.

BACA JUGA Menteri yang mendengar, Fahmi umum pakej khas untuk penunggang esok