PM ajak peringati iktibar Israk Mikraj

Perdana Menteri mengajak umat Islam memperingati iktibar peristiwa Israk Mikraj yang malar segar agar masyarakat berwaspada dan berubah.

Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan umat Islam harus mendukung usaha untuk memastikan keadilan ditegakkan, bermula dari dalam diri hingga kepada keadilan masyarakat.

Justeru, menerusi perutusan sempena Israk Mikraj, beliau sekali lagi berharap agar Palestin mengecapi kemerdekaan.

Ahli Parlimen Tambun itu juga mendoakan agar kezaliman dapat ditumpaskan, sekali gus umat terbela.

“Walhasil, umat dituntut agar istiqamah dalam mendirikan solat lima waktu, kasih dan ihsan terhadap fakir miskin serta membenam perilaku dusta dan nafsu serakah.

“Yang demikian itu syarat bagi melonjakkan kebangkitan dan kemajuan bangsa.

“Ini turut terpakai dalam hal yang menggusarkan kita sekarang terkait pemerasan ke atas rakyat Palestin,” katanya dalam kenyataan di laman Facebook rasmi beliau hari ini.

Dalam perutusan sama, Perdana Menteri turut menyingkap keistimewaan luar biasa yang diberikan kepada Rasulullah SAW ketika Baginda dibawa menembusi langit malam bagi menerima perintah baharu daripada Yang Maha Esa.

“Apatah lagi perjalanan itu sebagai mengubat hatinya yang pilu seusai pemergian suri hatinya Khadijah dan bapa saudara Abu Talib,” katanya.

Jelas Anwar, perjalanan Israk dan Mikraj menjadi penguat keimanan terhadap kerasulan Baginda, selain mengungkap 1001 iktibar yang dipertontonkan terkait soal akidah dan akhlak bagi seorang hamba.

BACA JUGA Anwar kongsi pandangan konsep Madani dengan tokoh Islam Kuwait