Tarif air di Pulau Pinang kedua terendah di Malaysia

Purata kenaikan tarif air di Pulau Pinang adalah yang kedua terendah di Malaysia selepas Terengganu, kata Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP), K Pathmanathan.

Menurutnya, purata kadar baharu untuk penggunaan domestik air sehingga 35 meter padu (m3) sebulan ialah 86 sen bagi setiap m3 iaitu 1,000 liter dan caj minimum setiap bulan ialah RM6.20.

“Kadar air domestik baharu mula dibilkan di Pulau Pinang berkuat kuasa 1 Februari lalu iaitu selaras dengan peraturan Kerajaan Persekutuan baharu yang diterbitkan pada 31 Januari lalu.

“Data PBAPP 2023 menunjukkan kira-kira 77.3 peratus atau 460,350 daripada 590,290 pengguna air domestik Pulau Pinang sudah dibilkan untuk penggunaan 35 m3 atau kurang pada tahun lalu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Bulan lalu, Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat Air Terengganu (SATU), Ts Abdul Karim Endut berkata, tarif baharu air bagi kategori pengguna domestik di Terengganu naik 16 sen.

Ia termasuk caj elektrik bagi setiap meter padu berkuat kuasa 1 Februari dan pelarasan itu menyaksikan caj minimum bagi pengguna domestik meningkat daripada RM4 kepada RM5.80 sebulan.

Pathmanathan berkata, menerusi tarif baharu itu menetapkan kadar baharu untuk jenis penggunaan air lain yang akan dicaj bermula 1 Februari lalu iaitu kadar untuk perkhidmatan bekalan air domestik pukal iaitu kadar rata RM1.73 setiap m3 dan caj minimun RM17.30 setiap bulan.

Beliau berkata, domestik pukal ialah penggunaan air melalui meter pukal, terutama oleh badan pengurusan hartanah yang bertanggungjawab ke atas bangunan kediaman bertingkat tinggi, komuniti berpagar, kuarters estet dan kuarters kerajaan.

Katanya, kadar untuk perkhidmatan bekalan air bukan domestik pula iaitu kosong hingga 35 m3 ialah RM1.57 bagi setiap m3, manakala melebihi 35 m3 pula RM2.17 setiap m3 dan caj minimum RM15.70 setiap bulan.

“Bagi kadar untuk perkhidmatan bekalan air rumah ibadat dan institusi kebajikan ialah kadar rata 67 sen setiap m3 dan caj minimum RM6.70 sebulan, manakala untuk perkapalan pula kadar rata RM7.07 setiap m3 serta caj minimum RM70.70 setiap bulan,” katanya.

Beliau berkata, kumpulan syarikat PBA mengunjurkan untuk menjana pendapatan tambahan RM86 juta pada tahun ini hasil pelaksanaan kadar baharu itu dan ia akan digunakan terutama untuk membiayai projek pembangunan infrastruktur bekalan air di Pulau Pinang.

“Antaranya projek pembangunan infrastruktur ialah saluran paip Sungai Perai 1,350 milimeter baharu yang menyeberangi sungai, projek penggantian saluran paip dan saluran paip baharu yang kritikal di seluruh negeri serta projek segera yang digariskan dalam Pelan Kontingensi Air Pulau Pinang 2030 (WCP 2030) untuk memastikan kecukupan bekalan air sehingga 2030,” katanya.