Dilema aliran tahfiz sains: Kena scam atau haru biru

Oleh ZOLKHARNAIN ABIDIN

Maafkan saya (apologetik 😁).

Sebenarnya saya “agak berburuk sangka” terhadap aliran tahfiz sains sama ada di MRSM atau sekolah menengah di bawah Kementerian Pendidikan. Saya guna kalimah “agak berburuk sangka” menggantikan kalimah “scam”. Lebih manis dan mesra.

Bagi saya, sistem pendidikan kita bercelaru dan haru-biru antara belajar sains tulin dan hafaz Quran. Kita mahu apa sebenarnya? Kita mahu anak-anak kita hafal Quran atau belajar sains tulin?

Eh, kedua-dua sekalilah. Hafal Quran dan belajar sains tulin. Barulah kita ada doktor hafiz, engineer hafiz, arkitek hafiz, ahli farmasi hafiz dan jururawat hafizah (sekadar contoh).

Istilah-istilah tersebut telah disalahfahami oleh kebanyakan ibu bapa. Ramai ibu bapa sudah kena “scam” lantaran istilah itu. Bagi ibu bapa, tamat tasmi’ atau memperdengarkan bacaan di hadapan guru, maka “hafiz”lah anaknya.

Maka jika anaknya lulus belajar kejuruteraan misalnya, maka jadilah anaknya engineer hafiz. Padahal, Quran yang dihafal oleh anaknya semasa di MRSM atau sekolah tahfiz sains sudah pun hanyut seperti tidak pernah dihafaz. Adakah ibu bapa tahu hal ini?

Quran di hafaz untuk diingat. Ukurannya ialah boleh dibaca dalam solat dengan lancar selancar membaca surah tiga Qul. Bukan sekadar habis tasmi’ di hadapan guru saja. Jika habis tasmi’ tapi tak ingat, tak ada beza pun dengan tak hafal.

Sebab tu saya kata, sistem kita berserabut dan haru-biru. Apa yang kita mahu? Melahirkan lulusan dalam bidang sains tulis atau melahirkan penghafaz Quran? Sistem kita berterabur. Apa yang kita dapat hanyalah syok sendiri dengan istilah engineer hafiz.

Semak baliklah sistem ini. Kita hormati idea pihak yang memperkenalkan sistem ini suatu masa dulu. Tidak keterlaluan jika saya katakan, idea ini lahir bukan dari “lulusan aliran sains yang hafaz Quran”, tetapi lahir dari orang politik yang mahu dilihat sebagai “pemimpin yang ada idea”.

Seharusnya kita lebih fokus. Biarkan aliran tahfiz benar-benar melahirkan hafiz yang mantap dan alim dalam bidang agama. Biarkan aliran sains tulin pula fokus kepada aliran itu untuk melahirkan lulusan sains yang cemerlang.

Tak perlu campur-aduk. Sistem campur-aduk yang ada ini tidak membawa kita kemana-mana kecuali syok sendiri. Saya tahu, menteri pun sebenarnya syok sendiri juga dalam hal ini.

Apa alternatif untuk pelajar sains tulin mendalami Quran? Alternatifnya ialah pendedahan tentang “ayat-ayat sains” dalam al-Quran. Bawa pemikiran mereka melihat betapa sains berupaya mengungkap mukjizat al-Quran dalam realiti kehidupan semasa.

Ini lebih bermanfaat berbanding sekadar tasmi’ dan hafal, kemudian lupa. Bukan lupa biasa, tapi lupa seperti tak pernah hafal. Sudahlah lupa, tak faham pula apa yang dihafal.

Hasilnya, subjek sains tulin tak fokus sebab perlu hafal Quran kerana mahu gelar doktor hafiz. Hafaz Quran pun tak kemana-mana sebab tak ingat hafalan dengan mantap bahkan lupa semuanya.

Saya hanya boleh bersuara di sini. Dan saya tahu suara saya tak kemana-mana pun. Tetapi sekurang-kurangnya suara saya ini membuka minda beberapa kerat ibu bapa yang terlalu teruja dengan harapan untuk memiliki anak bertitle arkitek hafiz.

—-

Tulisan ini disalin semula dari laman facebook penulis.