Harga lantai belian padi Sabah, Sarawak RM1,300 per tan metrik

Harga lantai belian padi di Sabah dan Sarawak mulai 15 Feb depan ditetapkan pada RM1,300 per tan metrik.

Penetapan harga tersebut meningkatkan pengeluaran beras negara dan menyeragamkan harga lantai belian padi di Sabah dan Sarawak dengan Semenanjung Malaysia, kata Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu.

“Pada masa ini, harga belian padi di Sabah dan Sarawak agak rendah, iaitu sekitar RM900 hingga RM1,100. Penetapan ini mampu membantu menambah pendapatan pesawah sekali gus menggalakkan pesawah untuk meningkatkan pengeluaran padi,” katanya ketika berucap pada majlis sempena lawatan ke Jelapang Padi Batang Lupar di Dewan Nangkai Stumbin.

Menurutnya dalam strategi jangka panjang, kerajaan perlu memperkukuhkan sekuriti makanan negara, iaitu memberi tumpuan kepada perluasan kawasan tanaman padi di Sabah dan Sarawak dengan memperluaskan program Smart Sawah Berskala Besar (Smart SBB) Ala Sekinchan ke seluruh negara dan perluasan lagi kawasan jelapang padi baharu.

“Program Smart SBB di Sarawak telah dilaksanakan secara rintis bawah seliaan Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) Batang Lupar, dengan usahasama strategik Syarikat Padiberas Nasional Berhad (Bernas) dan Syarikat Advansia (Sarawak) Sdn Bhd, membabitkan kawasan seluas 72 hektar di Tanjung Bijat, Sri Aman bermula luar musim tahun 2021.

“Seramai 202 orang pesawah telah memberanikan diri untuk menggalas perubahan dan inovasi ini. Jenis varieti padi yang digunakan di bawah program Smart SBB di Batang Lupar ini ialah MR269, keluaran Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi), yang dibawa masuk khas dari Semenanjung.

“Projek ini telah merekodkan prestasi purata bersih tuaian yang sangat memberangsangkan pada musim dua tahun 2023, iaitu 5.5 tan per hektar berbanding 2.8 tan per hektar sebelum ini,” katanya, lapor Bernama.

Beliau juga menyatakan bahawa kerajaan menyasarkan Tahap Sara Diri Beras Negara di tahap 80% menjelang 2030 meskipun pencapaian semasa hanya 62.6%.