Keputusan kes Nik Elin, Tengku Yasmin v. Kelantan takkan lemahkan mahkamah syariah

Keputusan kes petisyen oleh Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid dan Tengku Yasmin Natasha Tengku Abdul Rahman terhadap Kerajaan Negeri Kelantan yang dijadual diketahui esok tidak akan melemahkan mahkamah syariah, kata Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim), Datuk Hasanuddin Mohd Yunus.

Nik Elin dan Tengku Yasmin telah memohon Mahkamah Persekutuan membatalkan 18 kesalahan jenayah syariah di bawah Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kealntan 2019 di atas alasan Dewan Undangan Negeri (DUN) bertindak melampaui bidang kuasa yang diperuntukkan.

Sebaliknya Hasanuddin berkata keputusan tersebut akan memberi titik kepastian mengenai kompetensi DUN menggubal undang-undang berkaitan Islam.

“Keputusan itu juga akan memastikan Mahkamah Syariah akan berada di landasan yang sepatutnya menurut Perlembagaan Persekutuan dan sekaligus akan mengelakkan sebarang keputusan Mahkamah Syariah dicabar pada masa hadapan.

“YADIM percaya bahawa sistem keadilan di Malaysia masih tetap utuh berpaksikan kepada prinsip kedaulatan undang-undang dan Perlembagaan Persekutuan,” katanya dalam kenyataan hari ini, lapor Al-Hijrah Online.

Beliau yakin dengan sistem kehakiman yang akan mempertahankan perlembagaan persekutuan dan perlembagaan tersebut meletakkan Islam sebagai agama Persekutuan.

“YADIM percaya bahawa isu sebenar dalam kes Nik Elin ini sebenarnya bukanlah berkaitan dengan mencabar kedaulatan Islam atau suatu pencerobohan ke atas bidang kuasa Mahkamah Syariah.

“Tetapi sebenarnya adalah satu ujian kepada prinsip Federalisme yang mana Mahkamah Persekutuan kelak akan memutuskan undang-undang mana yang sepatutnya digubal oleh Parlimen dan undang-undang mana yang sepatutnya digubal oleh Dewan Undangan Negeri,” kata beliau.

Yadim turut menyeru umat Islam bertenang dan menerima keputusan mahkamah.

Ia percaya Majlis Raja-Raja dan kerajaan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengambil tindakan proaktif selepas keputusan kes ini untuk memastikan pentadbiran agama Islam berada di landasan tepat berdasarkan perlembagaan negara.