Lebih RM23.9 juta aset 1MDB berjaya dipulangkan kepada Kerajaan Malaysia

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berjaya memperoleh semula wang termasuk aset yang berjumlah lebih RM23.9 juta hasil pemulihan aset dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di dalam dan luar negara.

Kejayaan memperoleh semula wang ini susulan daripada proses menjejak dan memperoleh semula dana 1MDB yang dijalankan Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AML) SPRM sepanjang tahun 2023 dan terbaharu pada 5 Februari 2024

SPRM berkata, wang dan aset tersebut telah berjaya diperoleh menerusi proses lucuthak di mahkamah selain penyerahan secara sukarela membabitkan lima individu dan seterusnya telah dipulangkan semula kepada Kerajaan Malaysia.

“Hasil daripada pemulihan aset dana 1MDB di dalam dan luar negara yang giat dijalankan secara berterusan, suruhanjaya telah berjaya memperoleh semula wang termasuk aset yang berjumlah RM23,911,460.90,” kata SPRM dalam satu kenyataan hari ini.

Secara keseluruhan dari tahun 2019 sehingga kini, sebanyak RM29.03 bilion aset 1MDB telah berjaya dipulangkan menerusi kerjasama SPRM bersama Pasukan Petugas Khas PemulihanAset 1MDB (PPA1M) selain kerjasama daripada agensi luar negara.

SPRM berkata, wang berjumlah lebih RM500,000 atau (RM556,275.64) telah berjaya diperoleh pada 30 Ogos 2023 daripada Nurzahid Taib, pegawai 1MDB, yang telah menerima dana 1MDB bagi Projek Maximus dan Projek Catalyze.

Dana itu dimasukkan ke dalam akaun syarikat Turquoise Coast OffshoreIncorporated, di mana individu tersebut mempunyai kepentingan.

“Wang ini telah diperoleh menerusi Perintah Pelepasan Akaun di bawah Seksyen 60 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil DaripadaAktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001) pada 26 Jun 2023,” kata SPRM.

Pada 29 September 2023, wang berjumlah USD972,251.25 atau bersamaan RM4,551,399.45 (RM4.5 juta) telah berjaya dipulangkan kepada Kerajaan Malaysia menerusi penyerahan secara sukarela oleh Datuk Amhari Effendi iaitu Pegawai Khas kepada Datuk Seri Najib Razak, menerusi pindahan wang dari BSI Bank Switzerland.

Pada 8 November 2023, Mahkamah Tinggi Jenayah Kuala Lumpur telah memberikan perintah melucuthak tiga unit kondominium berjumlah RM7.05 juta milik Mohammad Kamal Yan Yahaya, Pegawai Penasihat Hal Ehwal Luar Negeri Datul Seri Najib Razak.

Menurut SPRM, individu itu telah menerima dana 1MDB menerusi Projek Magnolia, Projek Maximus dan ProjekCatalyze ke dalam akaun syarikat Spring Elite International Limited di BSI Bank, Singapura, di mana dirinya mempunyai kepentingan.

Ketiga-tiga proses pemulihan aset itu telah diperoleh susulan perbicaraan ke atas bekas pegawai bank di Goldman Sachs, Ng Chong Hwa atau lebih dikenali sebagai Roger Ng di Mahkamah Persekutuan Brooklyn, Amerika Syarikat pada Februari 2022 atas dakwaan bersubahat dalam penyelewengan dana 1MDB.

Susulan proses pemulihan aset yang giat dijalankan ini juga, pada 5 Februari 2024, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur telah memerintahkan harta-harta milik sekutu kepada Jho Low iaitu Jerome Lee Tak Loong dan isterinya, Koay Ying Ying di Malaysia dan di Singapura yang keseluruhannya berjumlah RM11,753,785.81 (RM11.7 juta) dilucuthak kepada SPRM.

Permohonan lucuthak ini telah dibuat di bawah Seksyen 56 dan Seksyen 64 Akta PencegahanPengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada AktivitiHaram 2001 (AMLÄ€TFPUAA 2001).