Mahiaddin dapat pasport, boleh hadiri perasmian restoran rakan di Bangkok

Mahkamah Sesyen hari ini membenarkan bekas perdana menteri, Tan Sri Mahiaddin Md Yassin untuk mendapatkan pasport miliknya bagi melawat rakan perniagaan dan menghadiri perasmian restoran halal di Bangkok, Thailand.

Keputusan itu dibuat Hakim, Azura Alwi selepas berpuas hati untuk melepaskan sementara pasport pengerusi Perikatan Nasional (PN) yang juga presiden Bersatu itu, bermula hari ini sehingga 23 Feb.

Lapor Berita Harian, walaupun Azura bersetuju bahawa tujuan Mahiaddin ke Thailand bukan keperluan mendesak, namun mahkamah mempunyai budi bicara yang luas dan boleh digunakan selepas mengambil kira dan menimbangkan segala keadaan dalam sesuatu kes.

Bagi kes Mahiaddin katanya, mahkamah mendapati walaupun dikenakan sekatan, jaminan dan syarat jaminan, adalah tidak wajar pemohon dihalang menjalani kehidupan dan menggalas tanggungjawab seperti biasa selagi tidak disabitkan bersalah bagi pertuduhan dikenakan.

“Mahkamah bersetuju bahawa tujuan jaminan diberikan adalah untuk menjamin kedatangan ke mahkamah untuk menjawab tuduhan dan pasport diserah bagi tujuan sekatan pergerakan ke atas pemohon sehingga kes dilupuskan.

“Mahkamah juga mendapati tiada bukti bahawa pemohon mempunyai risiko untuk melarikan diri,” katanya seperti dilapor.

Kelmarin, pihak pendakwaan dilapor membantah permohonan Mahiaddin bagi mendapatkan pasport sementara untuk ke Thailand pada 15 Februari ini.

Mengikut afidavit balasan terhadap permohonan itu, Timbalan Pendakwa Raya Zander Lim Wai Keong berkata Mahiaddin akan bertolak ke Bangkok pada 4.20 petang berdasarkan tiket penerbangan.

Lim berkata, alasan Mahiaddin untuk ke sana tidak munasabah dan tiada keperluan mendesak yang mewajarkan pelepasan pasport sementara kepada pemohon.

Pihak pendakwaan turut menegaskan risiko beliau melarikan diri masih wujud kerana masih berdepan tiga lagi pertuduhan pengubahan wang haram.

Berdasarkan afidavit sokongan permohonan itu yang difailkan pada 31 Januari lalu, Mahiaddin memohon pelepasan sementara pasport antarabangsa hingga 23 Februari ini bagi membolehkannya ke Bangkok.

Ia susulan kenalan rapat yang juga warga Malaysia membuka sebuah restoran masakan Thai dan mahu menjemput presiden Bersatu itu bagi acara pembukaan sebagai tanda penghargaan kepada pemimpin di Malaysia.

Pada 29 November tahun lalu, Mahkamah Sesyen menolak permohonan beliau mendapatkan pasport secara kekal, namun melepaskan dokumen itu sementara bagi percutian bersama keluarga dan pemeriksaan kesihatan, masing-masing di London, United Kingdom (UK) serta Singapura.

Mahiaddin, 76, berdepan dua pertuduhan menerima wang hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM195 juta daripada Bukhary Equity Sdn Bhd yang dimasukkan ke akaun CIMB Bank milik Bersatu.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di CIMB Bank Cawangan Menara KL, Jalan Stesen Sentral, di sini, antara 25 Februari dan 16 Julai 2021 serta 8 Februari dan 8 Julai 2022.

Mahiaddin juga didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam atas pertuduhan menerima wang hasil aktiviti haram berjumlah RM5 juta dan kes itu dipindahkan ke Mahkamah Sesyen, di sini untuk dibicarakan bersama.

Pada 15 Ogos lalu, Mahkamah Tinggi melepas dan membebaskan Mahiaddin daripada empat pertuduhan menggunakan kedudukan untuk suapan berjumlah RM232.5 juta bagi Bersatu berkaitan projek Jana Wibawa.

BACA JUGA Cikgu WhatsApp minta duit, bapa menangis tak mampu bayar PIBG RM400