Menewaskan Israel di Gaza: Sokongan simbolik ke substantif

Tragedi pembunuhan beramai-ramai di Gaza masih berterusan. Musibah yang menimpa Gaza merupakan tragedi kemanusiaan yang paling teruk pada kurun ini. Setiap hari penduduk di Gaza masih di buru dan dibunuh tentera Israel. Bangunan-bangunan, termasuk rumah-rumah ibadat, hospital-hospital dan sekolah-sekolah dibedil dan dimusnahkan.

Matlamat Israel bukan sekadar memburu Hamas. Israel ingin mengusir penduduk Gaza dan oleh itu telah dan sedang memusnahkan semua bangunan dan prasarana untuk memastikan Gaza tidak lagi dapat diduduki. Gaza akan menjadi padang jarak padang terkukur dan kemudian akan dirampas oleh Israel.

Usaha ganas Israel ini turut disokong oleh Amerika Syarikat dan sekutunya. Mereka membekal senjata dan sokongan kententeraan. Kini mereka turut memotong peruntukan kpd United Nation Relief dan Work Agency (UNRWA). UNRWA selama ini bertanggungjawab memberi khidmat kesihatan dan pendidikan di Gaza.

Siapakah yang akan membela nasib penduduk di Gaza? Usaha-usaha diplomatik memakan masa dan tidak memadai untuk mengelak krisis kebuluran dan kesihatan di Gaza. Ramai kanak-kanak telah menjadi anak yatim, isteri-isteri yang menjadi janda, dan ramai orang yang putus kaki dan tangan. Masa depan kanak-kanak dan golongan muda telah menjadi malap apabila sekolah-sekolah dan universiti-universiti di Gaza sengaja dimusnahkan.

Memenangi perang dengan Israel di Gaza bukanlah sekadar dengan menewaskan mereka di medan perang. Kemenangan di Gaza akan dicapai apabila penduduk Gaza dapat bangun semula dan membina semula Gaza. Mereka perlu terus kekal di Gaza. Inilah yang akan mengagalkan cita-cita Israel.

Rakyat dan kerajaan Malaysia telah menunjukkan sokongan yang padu kepada Gaza. Di kalangan rakyat, ada yang mengibarkan bendera Palestian, ada yang memakai kaffiyeh, dan ada yang memboikot perniagaan-perniagaan yang dianggap bersimpati dengan Israel.

Kebanyakan tindakan-tindakan ini bersifat simbolik. Namun, ia tidak akan menyembuhkan penduduk Gaza yang cedera, mengisi perut kanak-kanak yang kebuluran, atau memberi perlindungan ketika cuaca semakin sejuk di Gaza.

Pada tahun 2018, Presiden Trump telah membatalkan sumbangan Amerika kepada UNRWA. Satu kempen untuk mengutip derma telah dijalankan di beberapa negara untuk membantu UNRWA.

Di Turkiye, Presiden Erdogan sendiri telah turun pada rapat umum untuk melancarkan kempen mengutip dana untuk UNRWA. Usaha sebegini memberi bantuan substantif kepada penduduk Gaza.

Orang ramai di Malaysia juga boleh memainkan peranan yang lebih berkesan dalam membantu Gaza. Untuk jangka pendek, penduduk Gaza memerlukan makanan, perubatan dan tempat berlindung.

Untuk jangka panjang, mereka perlu membina semula rumah-rumah mereka, hospital-hospital, sekolah-sekolah serta prasarana asas seperti bekalan air, sistem pembentungan dan bekalan tenaga. Anak-anak yatim memerlukan penjagaan dan mereka yang cacat perlu melalui pemulihan.

Derma

Ini semua tidak dapat dilakukan dengan langkah-langkah simbolik sahaja. Setakat ini, penulis belum mendengar mengenai kempen kutipan derma untuk Gaza di masjid-masjid ketika solat jumaat.

Sebaliknya, sudah ada masjid-masjid yang memohon derma untuk program berbuka puasa Ramadhan nanti di sini dari orang ramai.

Sudah tiba masanya badan-badan seperti JAKIM, Majlis-majlis agama, masjid-masjid memainkan peranannya memimpin ummat Islam di Malaysia dalam membantu penduduk Gaza. Program-program mudah seperti mengutip seringgit dari setiap orang yang menunaikan salat jumaat untuk Gaza berpotensi mengutip beberapa juta ringgit seminggu.

Kutipan seringgit seorang setiap minggu tidak akan menjejaskan program membantu orang-orang miskin di Malaysia. Tetapi ia akan mengisi banyak perut yang kelaparan di Gaza dan bantu menyembuhkan mereka yang cedera.

Peranan mufti dan menteri

Para mufti dan Menteri Agama juga perlu memikirkan peranan yang boleh mereka mainkan. Mereka boleh memberi nasihat sama ada masih perlu untuk mengadakan majlis-majlis berbuka puasa di masjid-masjid di Malaysia pada ketika penduduk Gaza mengalami krisis kebuluran.

Mereka juga boleh memberi pandangan sama ada membelanjakan wang mengerjakan umrah masih harus dijadikan keutamaan dalam keadaan darurat yang dihadapi di Gaza. Bukankah lebih wajar bantuan disalurkan kepada Gaza?

Dalam jangka panjang, kita juga perlu memikirkan mengenai penjagaan anak-anak yatim di Gaza. Bagi anak-anak yatim yang masih mempunyai saudara-mara di Gaza, mungkin elok jika mereka dapat dijaga oleh saudara-mara mereka.

Bina semula pendidikan

Tetapi bagi mereka yang telah tiada lagi saudara-mara yang masih hidup, mungkin program anak angkat perlu diperkenalkan untuk mereka. Janganlah menunggu keluarga-keluarga dari negara-negara Barat mengambil anak-anak yatim ini sebagai anak angkat baru hendak melenting.

Membina semula prasarana pendidikan akan memakan masa. Adalah penting untuk memastikan pengajian golongan muda di Gaza tidak terjejas.

Dana perlu ditubuhkan agar sekurang-kurangnya sebahagian dari mereka boleh menyambung pelajaran mereka di negara-negara lain. Adalah amat penting untuk menggantikan para doktor dan guru yang telah dibunuh oleh Israel.

NGO-NGO kemanusiaan Malaysia boleh memainkan peranan memimpin dalam hal ini jika pihak berkuasa agama tidak berkemampuan melakukan semua ini. Jalinan kerjasama perlu diwujudkan.

Badan-badan yang mewakili agama-agama lain perlu turut sama-sama dibabitkan. Seluruh masyarakat perlu digembeling untuk tujuan ini. Satu pelan induk jangka panjang perlu diwujudkan agar bantuan yang diberikan berterusan. Usaha ini sememangnya sukar dan mencabar.

Ini penting agar tindakan-tindakan simbolik dapat diubah menjadi tindakan-tindakan substantif. Inilah yang diperlukan Gaza.

Inilah yang akan mengembalikan senyuman kepada kanak-kanak Gaza yang kebuluran, memberi harapan kepada pendudukan Gaza yang telah hilang anggota badan dan menyembuhkan luka dikalangan mereka yang cedera.

Tindakan-tindakan substantif inilah yang akan membantu Gaza berdiri semula. Inilah cara kita di Malaysia dapat menewaskan Israel di Gaza.


Penulis Rozhan Othman ialah pengasas Human Capient Consulting Sdn Bhd dan Felo Kanan LeadUS Centre.

Â