Nga: Cabar kepentingan Melayu? Rantai besi dimakan bubuk
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming menafikan tuduhan bahawa cadangan pencalonan Kampung Baru Cina sebagai tapak warisan UNESCO adalah tindakan yang mencabar kepentingan Melayu.
“Segala tuduhan berkaitan saya atau kerajaan mencabar kepentingan orang Melayu dan Bumiputra adalah bagai rantai besi dimakan bubuk, adalah tidak masuk akal dan tidak benar,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau turut menjelaskan bahawa pencalonan Kampung Baru Cina dibuat dengan mendukung prinsip Malaysia Madani.
“Cadangan mencalonkan Kampung Baru Cina sebagai tapak warisan Unesco bukan zero sum game. Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) tetap mendukung prinsip Malaysia Madani yang menekankan 6 nilai-nilai penting, iaitu Kemampanan, Kesejahteraan, Daya Cipta, Hormat, Keyakinan dan Ihsan menjadi tonggak dalam hala tuju Malaysia menjadi sebuah negara bangsa yang maju dan sejahtera.
“Saya telah banyak kali menekankan bahawa falsafah kepimpinan KPKT adalah berlandaskan Rukun Negara dan saya berazam dan berhasrat untuk melaksanakannya,” kata beliau dalam satu kenyataan.
Beliau berkata demikian ekoran ada pihak yang menganggap usaha ini berbaur perkauman.
Timbalan Presiden Muafakat Nasional, Profesor Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah berkata, perkara tersebut tidak sepatutnya dibangkitkan oleh menteri dan juga negarawan terutama ia melibatkan isu sensitif.
Nga juga terbuka kepada cadangan pencalonan kampung Melayu atau mana-mana kawasan sebagai tapak warisan Unesco.
Nga turut mengingatkan umum bahawa pencalonan Kampung Baru Cina sebagai tapak warisan dalam peringkat cadangan dan tidak seharusnya dijadikan isu perkauman.
Beliau turut menegaskan bahawa usaha kementeriannya dibuat tanpa mengira kaum, bangsa dan agama.