Perihal Kampung Baru Cina dan Kampung Melayu

Baru-baru ini isu kenyataan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming yang mencadangkan agar Kg. Baru Cina di tujuh negeri dijadikan tapak warisan dunia yang diiktiraf UNESCO menjadi gempar.

Maka beberapa Tiktok dan YouTube muncul menempelak kerajaan kononnya hak Melayu sudah tergadai bagai.

Disuruhlah kerajaan menolaknya dan jika tidak rakyat akan menolak kerajaan.

Ini pandangan yang herot. Kampung Baru Cina tu memang milik Cina dah sejak sekian lama mengikut undang-undang. Tak timbul isu ia boleh sewenang-wenangnya dikatakan hak Melayu dan boleh dirampas oleh kerajaan.

Undang-undang dah jelas tentang hal ini. Ada pun dia nak mohon pengiktirafan UNESCO tu bukan hal besar. Kampung Morten di Melaka dah lama diiktiraf sebagai warisan dunia. Adakah dgn wujudnya Kg. Morten itu, ia menggugat kedudukan orang Melayu. Sama sekali tidak.

Lagipun Kg. Baru Cina wujud pada 1948 dan belum 100 tahun. Baharu 86 tahun. Masih jauh lagi. Tapi begitulah pandangan jauh seorang pemimpin Cina.

Isu yg lebih besar ialah kenapa setelah 124 tahun, tiada seorang pun menteri Melayu yg mencadangkan Kg. Baru, Kg. Dato Keramat dan lain lain sebagai tapak warisan dunia UNESCO. Kg Abdullah Hukum sudah tiada. Kg Kerinchi pun sama.

Pengiktirafan UNESCO itu bertujuan supaya tapak itu tidak boleh dibangunkan sewenang-wenangnya dan digantikan dengan bangunan baharu supaya generasi akan datang kenal asal-usul dan sejarah kampung itu.

Sejarah bagaimana Inggeris memerintah dan memberikan tanah itu kepada penduduk Cina supaya tidak memberikan bantuan kepada komunis, dan sejarah betapa baiknya jiwa besar para pemimpin Melayu dahulu yang sanggup bertolak-ansur dengan pendatang untuk berkongsi bumi Tanah Melayu ini dengan orang bukan Islam dan orang asing. Sejarah ini patut ditonjolkan supaya orang Cina tidak bersikap seperti kacang lupakan kulit.

Sebagai pejuang Melayu, kitalah yang patut ke hadapan mencadangkan agar Kg Baru dan Kg Datuk Keramat sebagai tapak warisan dunia, dan bukan menjadikan isu Kg Baru Cina sebagai modal politik sempit.

Menteri Wilayah Persekutuan perlu diingatkan agar dalam kerancakan membangun kota kosmopolitan Kuala Lumpur, kampung-kampung tradisi Melayu juga perlu dipertahankan dan dibangunkan, tanpa menghilangkan identiti keMelayuannya. Di setiap Parlimen di WPKL wajib dibangunkan satu mercu tanda yang melambangkan jati diri Melayu dengan mengukuhkan tradisi Melayu yang sedia ada.

Antaranya ialah tradisi kesenian, kraftangan, silat, seni bina Melayu, cara hidup Melayu yang penuh adab dan sopan-santander, kuih-muih dan masakan Melayu dan lain-lain

Bagi memupuk tradisi ilmu, rumah-rumah tradisional Melayu boleh dipulihara. Bangunan lama milik Melayu boleh dijadikan perpustakaan dan Kota Buku Melayu perlu menghimpunkan buku, karya dan pengkarya Melayu di sebuah tapak yang boleh dijadikan tarikan pelancong.

Kampung-kampung tradisi Melayu ini perlu mendokumentasikan sejarah dan kebudayaan mereka supaya asal-usul kewujudannya dihargai oleh generasi akan datang. Ia boleh dilakukan dengan dukungan kerajaan, korporat dan NGO.

Akhir kalam, kitalah yang perlu memberikan cadangan kreatif dan inovatif kepada menteri dan pentadbir kerajaan supaya ia boleh dilaksakan dengan sebaik-baiknya.


Oleh: Dr Baharuddin Ali Masrom al-Haj