Selangor mempunyai bekalan air 9 bulan untuk berdepan El Nino
Selangor mempunyai bekalan air simpanan yang boleh menampung keperluan penduduk selama sembilan bulan untuk berdepan fenomena El Nino.
Empangan di negeri itu mempunyai simpanan air untuk keperluan pengguna selama enam bulan, manakala kolam air takungan untuk tempoh tiga bulan, kata Exco Infrastruktur dan Pertanian Izham Hashim.
“Kita kini dalam proses untuk memastikan semua bekalan itu bersambung bagi membolehkan kita dapat menggunakan air tersebut apabila diperlukan,” katanya kepada media ketika mengadakan lawatan kerja ke tapak projek pemuliharaan Sungai Klang.
“Kita merancang dan buat persiapan, kemarau terakhir melanda negara adalah pada 2014 dan kitaran fenomena itu akan berulang dan kita perlu melakukan persiapan dan berharap ia tidak teruk,” katanya, lapor media.
Menurutnya usaha yang dibuat adalah selaras dengan ajian yang dilakukan Institut Penyelidikan Air Kebangsaan Malaysia (NAHRIM) yang menjangkakan kemarau akan melanda negara pada 2026.
Projek pemuliharaan Sungai Klang yang dilawati beliau hari ini melibatkan kerja pedalaman dan pelebaran 56 km Sungai Klang dan pengukuhan tanah tebing dan pembinaan permatang.
Ia dijangka siap pada 2028 dengan kos RM700 juta.
Menurut beliau kerja pedalaman berdepan cabaran kerana timbunan sampah-sarap dan mendapan yang terkumpul di dasar sungai sedalam tiga meter berbanding ketinggian sungai pada empat meter.
“Barangan buangan besar seperti tayar dan perabot serta plastik menjejaskan keadaan teknikal jentera pengorek dan menyebabkan gangguan terhadap operasi hariannya. Kami berharap dengan penambahan jentera Pengorek Sedut Pemotong masalah ini dapat diuruskan dengan lebih baik,” katanya.