16 peruntukan EKJS(I) Kelantan dibatalkan

Peguam Nik Elin Nik Abdul Rashid dan anaknya Tengku Yasmin Natasha Tengku Abdul Rahman berjaya membatalkan 16 peruntukan Enakmen Jenayah Syariah (I) Kelantan, 2019.

Panel hakim Mahkamah Persekutuan yang diketuai Ketua Hakim Tengku Maimun Tuan Mat membenarkan petisyen Nik Elin dengan keputusan majoriti 8-1.

Badan perundangan Kelantan bertindak melebihi kuasa yang ada dengan menggubal enakmen yang bercanggah dengan Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan, kata Tengku Maimun

Tengku Maimun mengulangi peringatan bahawa apa yang dicabar oleh Nik Elin dan Tengku Yasmin itu bukanlah mengenai kedudukan Islam dan sistem kehakiman syariah di Malaysia.

Yang dipertikaikan ialah keabsahan perlembagaan terhadap 18 peruntukan enakmen Kelantan yang didakwa pempetisyen sebagai melanggar had kuasa negeri terbabit.

“Kuasa parlimen dan dewan undangan negeri dihadkan oleh Perlembagaan Persekutuan, dan mereka tidak boleh membuat sebarang undang-undang yang mereka suka,” kata Tengku Maimun yang membacakan keputusan bagi pihak majoriti.

Nik Elin dan anaknya telah mencabar keperlembagaan 18 peruntukan di dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (1) 2019, Kelantan.

Mahkamah bagaimanapun membenarkan 16 peruntukan sahaja dibatalkan.

Antara peruntukan yang tidak sah ialah liwat (seksyen 14) hubungan seks dengan mayat (seksyen 16) dan gangguan seksual (seksyen 31).

Peruntukan lain yang turut dinyahkan termasuk mabuk (seksyen 36), urus niaga yang bertentangan syarak (seksyen 40) dan penyalahgunaan logo halal (seksyen 42).

Mahkamah Persekutuan bagaimanapun tidak membenarkan permohonan terhadap kesalahan menyerahkan anak kepada bukan Islam atau Muslim yang rosak akhlak (seksyen 13) dan kata-kata yang menghuru-harakan keamanan.