Isu pemandu menteri ‘cucuk rapat’ ambulans, polis dah ambil keterangan

Sejak minggu lalu tular di media sosial, kenderaan rasmi seorang menteri didakwa mengekor rapat sebuah ambulans ketika berlaku kemalangan di Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS) antara Simpang Pulai menghala ke Tapah.

Perkara itu didedahkan seorang pengguna Facebook yang memuat naik gambar kenderaan menteri dengan mendakwa kenderaan itu mengambil kesempatan untuk keluar dari kesesakan dengan mengekori ambulans.

Polis mengesahkan sudah mengambil keterangan daripada pemandu kenderaan menteri itu.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, pemandu berkenaan sudah dipanggil pada semalam susulan kejadian tersebut.

Yusri berkata, siasatan awal mengesahkan kenderaan tular itu dipandu oleh seorang lelaki yang bekerja sebagai pemandu kepada menteri tersebut.

Katanya, pemandu bersama menteri ketika kejadian dalam perjalanan ke sebuah program kebajikan yang sepatutnya berlangsung di Rumah Pangsa Jalan Silang, Perak.

“Bagaimanapun, menteri berkenaan tidak sempat menghadiri program terbabit disebabkan kesesakan lalu lintas.

“Selain mengambil keterangan, beberapa saksi awam lain juga dipanggil bagi membantu siasatan berhubung kejadian itu,” katanya dalam satu kenyataan.

Yusri berkata, pihaknya juga sedang berusaha mendapatkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) PLUS Malaysia Berhad serta kamera papan pemuka (dashcam) ambulans terbabit.

ambahnya, kes disiasat mengikut Peraturan 9 (2) Kaedah-Kaedah Lalu Lintas siasatan.

Orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan kes itu memandangkan kes masih disiasat.

Terdahulu, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke dilaporkan berkata, Kementerian Pengangkutan (MOT) juga akan mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung isu tersebut.

BACA JUGA