Jumaat yang hitam atau Jumaat barakah?

Setiausaha Agung Pas Datuk Seri Takiyuddin Hassan menyifatkan hari ini sebagai “Jumaat yang hitam” ekoran keputusan 8-1 Mahkamah Persekutuan yang membatalkan 16 daripada 18 peruntukan Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (I) Kelantan.

“Jumaat yang hitam kepada syariah Islam, kepada undang-undang Islam… itu yang boleh kita (PAS) gambarkan.

“Saya sebagai peguam, kita tahulah apabila sesuatu undang-undang jenayah syariah satu (enakmen) negeri dibatalkan, bermakna undang-undang jenayah syariah Islam di negeri lain, di 14 buah negeri lain berada dalam keadaan berbahaya dan kritikal,” katanya ketika ditemui media di pekarangan Istana Kehakiman, Putrajaya.

Tapi benarkah hari ini Jumaat yang hitam atau Jumaat barakah?

Keputusan Mahkamah Persekutuan bukan sahaja membongkar kealpaan Pas dalam menunggang undang-undang syariah. Ia turut membuktikan bahawa Pas tidak layak untuk menggubal undang-undang berkaitan Islam.

Pada hari Jumaat yang barakah ini, sistem kehakiman telah menentukan bahawa rakyat biasa boleh menentukan bahawa undang-undang syariah yang digubal tidak melampaui batas-batas yang telah ditetapkan.

Mulai hari Jumaat yang barakah ini, negeri-negeri lain mempunyai peluang untuk meminda enakmen kesalahan jenayah syariah di negeri masing-masing.

Usaha ini akan dibuat bersama kerajaan persekutuan.

Usaha Nik Elin Nik Abdul Rashid bukanlah usaha yang pertama yang diusahakan. Dalam dekad 1990-an, mantan menteri undang-undang Datuk Zaid Ibrahim turut mencabar keabsahan enakmen kesalahan jenayah syariah Kelantan.

Dari sudut lain, mungkin ada benarnya juga bahawa hari ini Jumaat yang hitam.

Ya hari ini Jumaat yang hitam buat Pas.

Hari ini Jumat yang hitam untuk penunggang agama yang gagal membaca fakta sebagaimana yang difirmankan oleh Allah swt di dalam Surah al-Alaq seperti berikut:

ٱقْرَأْ بِٱسْمِ رَبِّكَ ٱلَّذِى خَلَقَ ١

Sebelum keputusan diumumkan pun, Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat telah menegaskan bahawa kes bukanlah berkaitan mencabar Islam namun ia tidak diendahkan oleh PN.

Bagi mereka ini ancaman kepada Islam.

Mereka mendakwa bahawa mempertahankan Islam tanpa menyedari tindakan mereka hanya menyerlahkan kejahilan diri semata-mata.