Ke arah memartabatkan undang-undang syariah

Sebentar tadi Mahkamah Persekutuan mengumumkan keputusan bahawa 16 peruntukan seksyen dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan dibatalkan kerana ia bertentangan dengan perlembagaan persekutuan.

Keputusan ini membuka lembaran baharu kepada perundangan syariah di Malaysia kerana kini wujud keperluan untuk negeri lain turut meneliti kembali peruntukan undang-undang yang telah mereka luluskan.

Perkara pokok yang perlu digunakan sebagai garis panduan ialah peruntukan jenayah syariah yang ada tidak boleh mengulangi peruntukan yang sedia ada dalam mahkamah jenayah.

Ini kerana sekiranya sistem perundangan jenayah dan syariah mempunyai bidang kuasa sama maka ia akan menidakkan keadilan.

Nilai keadilan adalah satu nilai yang diangkat dalam Islam.

Apalah erti segala undang-undang sekiranya keadilan tidak dapat diberikan kepada mereka yang teraniaya?

Dalam konteks ini, peranan Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) jelas.

Jawatankuasa Khas Mengkaji Kompetensi DUN untuk Menggubal Undang-Undang Islam yang ditubuhkan di bawah MKI dapat meneliti semua undang-undang syariah yang dibuat oleh dewan undangan negeri agar episod seperti di atas tidak berulang.

Adakah ini bermakna Islam terancam? Sudah tentu tidak.

Ini adalah tindakan yang mengangkat martabat undang-undang syariah Malaysia.

Prinsip keadilan akan lebih terserlah selepas MKI menjalankan tugas mereka.

Dari sudut politik pula, sudah terang lagi bersuluh bahawa kerajaan tadbiran Pas di Kelantan tidak tahu bidang kuasa mereka dalam proses menggubal undang-undang.

Dengan adanya MKI, kesan daripada ketidakupayaan Pas menggubal undang-undang syariah di Perlis dan Kedah dapat dikekang.