Keputusan Enakmen Syariah: Mohd Naim minta semua pihak elak provokasi

Semua pihak diminta untuk bertenang serta tidak melakukan provokasi yang boleh mengundang keresahan awam susulan keputusan Mahkamah Persekutuan yang membatalkan 16 kesalahan syariah dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, beliau telah mengarahkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) bersama Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) segera mendapatkan alasan penghakiman bertulis bagi kes tersebut untuk tujuan kajian dan perancangan selanjutnya.

Beliau menegaskan bahawa kedudukan Mahkamah Syariah di Malaysia adalah kekal utuh dengan jaminan kedudukannya sebagaimana dinyatakan jelas di dalam Perlembagaan.

Pada masa sama Mohd Naim berkata, beliau akan segera memohon menghadap Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Nazrin Shah untuk menyembah maklum keputusan mahkamah tersebut.

Malah, katanya, beliau juga akan segera memohon menghadap Pengerusi Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI), Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Raja-Raja Melayu untuk menyembah maklum perkara berkaitan.

“Saya juga akan segera memanggil semua pemegang taruh berkaitan, semua pihak yang terlibat dengan Mahkamah Syariah untuk kita sama-sama berbincang dan menilai langkah pemerkasaan seterusnya bagi Mahkamah Syariah.

“Jika terdapat keperluan melakukan apa-apa pindaan atau reformasi undang-undang, kita akan segera melakukannya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Selaras dengan kajian atas alasan penghakiman kes ini yang akan segera dijalankan, Mohd Naim berkata, perancangan lanjut akan dibuat segera bagi memastikan agenda penambahbaikan dan pemerkasaan Mahkamah Syariah akan terus berjalan di Malaysia.

Beliau berkata, beberapa penyesuaian terhadap pelan dan rancangan sedia ada juga akan dilaksanakan selaras dengan keputusan kes tersebut, serta memberi jaminan segala ruang dan peluang yang wujud untuk pemerkasaan Mahkamah Syariah akan dilaksanakan.

“Jawatankuasa Khas Mengkaji Kompetensi DUN untuk Menggubal Undang-Undang Islam yang dipengerusikan bekas Ketua Hakim Negara, Tun Zaki Tun Azmi akan mengkaji isu-isu yang berkaitan dengan kompetensi DUN serta bidang kuasa Mahkamah Syariah.

“Hasil kajian, pandangan dan syor yang dicadangkan oleh Jawatankuasa Khas ini akan dibentangkan dalam MKI dan Majlis Raja-Raja,” katanya.

Dalam pada itu beliau berkata, Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) memberi jaminan kepada umat Islam bahawa Mahkamah Syariah akan kekal dan terus terjamin kewujudannya selaras dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan.

Terdahulu, Mahkamah Persekutuan Putrajaya mengisytiharkan 16 daripada 18 peruntukan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 adalah terbatal dan tidak sah.

Panel sembilan hakim diketuai oleh Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat memutuskan demikian selepas membenarkan petisyen peguam, Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid dan anaknya Tengku Yasmin Nastasha Tengku Abdul Rahman selaku pempatisyen bagi mencabar 18 peruntukkan enakmen tersebut.

Dengan keputusan itu, Badan Perundangan Negeri Kelantan tidak mempunyai bidang kuasa menggubal 16 peruntukan undang-undang itu.

BACA JUGA Ajak solidariti selamatkan syariat, niat PN sangat meragukan