Pengumuman agihan dividen Tabung Haji pada bulan April
Pengumuman dan agihan dividen Tabung Haji (TH) bagi tahun kewangan 2023 akan dibuat pada April ini , kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar.
Pengumuman tersebut akan dibuat selepas audit dijalankan selaras dengan teguran Suruhanjaya Siasatan Diraja.
“Sekarang adalah masa pengauditan dijalankan, jadi insya Allah, menjelang April nanti kita akan umumkan berapa dividennya,” katanya
Na’im berharap pihak pengurusan tertinggi TH dapat mencari jalan terbaik bagi mengimbangi pemberian dividen yang munasabah tanpa menjejaskan bantuan kewangan kepada jemaah haji dalam golongan B40 dan M40.
“Sebab ia tabung yang sama kalau kita berikan dividen yang tinggi ia akan mengurangkan bantuan kewangan kepada jemaah haji B40 dan M40, jadi pihak pengurusan tertinggi TH, saya harap dapat memikirkan dan mencari jalan yang terbaik,” katanya.
TH mengumumkan agihan keuntungan tahun kewangan 2022 pada kadar 3.10 peratus setelah mengambil kira zakat 2.57 peratus melibatkan jumlah agihan sebanyak RM2.65 bilion kepada lebih 8.7 juta pendeposit.