Isu dan kekangan keputusan Mahkamah Persekutuan, enakmen syariah

Daripada sejumlah 16 peruntukan Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (I) 2019 Kelantan (EKJS) yang dibatalkan oleh Mahkamah Persekutuan semalam, dua peruntukan merupakan perkara yang khusus dengan kerajaan persekutuan iaitu yang melibatkan transaksi kewangan muamalat.

Hanya satu kesalahan mempunyai hukuman hampir sama tetapi mahkamah syariah boleh mengurangkan hukuman untuk kesalahan memusnahkan atau mencemarkan tempat ibadat.

Di peringkat persekutuan hukuman bersamaan penjara dua tahun manakala hukuman di bawah EKJS, hukuman penjara tidak lebih dari dua tahun.

Undang-undang jenayah persekutuan memperuntukkan hukuman yang lebih keras berbanding EKJS untuk 13 kesalahan lain.

Ini menunjukkan bahawa takzir di bawah undang-undang persekutuan mempunyai hukuman lebih berat.

Pihak-pihak yang kecewa dengan keputusan mahkamah persekutuan perlu membandingkan EKJS dengan Kanun Prosedur Jenayah dan Kanun Keseksaan sebelum melolong bahawa syariah dan Islam terancam di Malaysia.

Jawatankuasa Khas Mengkaji Bidang Tugas Mahkamah Syariah (JKMBTMS) perlu memulakan tugas dan memastikan peruntukan syariah tidak bertentangan dengan perlembagaan dan undang-undang jenayah persekutuan.

Ekoran dari keputusan semalam, suara-suara yang mahu memperkasakan syariah sangat kuat kedengaran berbanding dengan usaha penyeragaman.

Ramai yang mahu pindaan dibuat ke atas Perlembagaan Persekutuan, bukannya undang-undang syariah negeri.

Ini satu kepelikan kerana masalah yang wujud ialah undang-undang syariah yang dibuat di peringkat dewan undangan negeri bermasalah sepertimana yang kita lihat dalam kes Nik Elin Zurina lawan kerajaan Kelatan.

Sekiranya motorsikal anda bermasalah, adakah anda menghantar kereta ke kedai mekanik?

Dalam keadaan enakmen syariah dibuat secara sembreno, mana mungkin undang-undang syariah boleh diperkasakan?

Satu aspek yang tidak dibicarakan di mahkamah persekutuan ialah kesalahan dengan definasi sempit di dalam undang-undang syariah.

Sekiranya Ali melacurkan isterinya Aminah, ia kesalahan jenayah yang diliputi di bawah enakmen syariah negeri.

Sekiranya Ali melacurkan isterinya Aminah menerusi sindiket pelacuran, tiada apa-apa peruntukan syariah.

Ini kerana undang-undang syariah asalnya meliputi dua perkara sahaja iaitu undang – undang keluarga Islam dan undang-undang harta pusaka.