Jangan politikkan keputusan mahkamah, tegur Mufti Pulau Pinang

Mufti Pulau Pinang mengingatkan semua pihak agar tidak mempolitikkan keputusan Mahkamah Persekutuan yang membatalkan 16 peruntukan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019, semalam.

Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor berkata, semua pihak perlu menerima keputusan terbabit dan jika tidak berpuas hati, boleh meminta panduan mereka yang pakar atau bertanya sendiri dengan Mufti Kelantan Mohamad Shukri Mohamad.

Ini kerana katanya ia berkait dengan undang-undang syariah di negeri itu, sambil mengambil contoh pepatah Arab yang bermaksud “Penduduk Makkah lebih mengetahui lorong-lorongnya.”

“Tak payahlah isu ini dipolitikkan mana-mana pihak. Sebaliknya sama-sama memikirkan tentang cara berkesan memartabatkan kedudukan syariat Islam di negara ini,” katanya lapor FMT.

Mengulas lanjut, Wan Salim berkata mereka yang tidak berpuas hati dengan keputusan itu juga boleh berusaha mencari jalan supaya peruntukan dibatalkan terbabit menjadi sah dari segi undang-undang.

“Kata bidalan, di mana ada kemahuan di situ ada jalan. Cubalah memohon bantuan mereka yang pakar dalam bidang undang-undang untuk menggubal peruntukan Enakmen Syariah Negeri Kelantan yang tidak bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan supaya DUN tidak dianggap bertindak melebihi bidang kuasanya,” katanya.

Semalam, Mahkamah Persekutuan membuat keputusan memihak petisyen difailkan peguam Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid untuk membatalkan 16 peruntukan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 dengan alasan ia bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

Panel sembilan hakim, yang dipengerusikan Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat, mencapai kesimpulan dalam keputusan majoriti 8-1 bahawa DUN tiada kuasa meluluskan 16 peruntukan dalam enakmen itu kerana kesalahan terbabit dirangkumi bawah undang-undang persekutuan.

Sejurus keputusan itu diumumkan, pelbagai pihak memberi maklum balas antaranya Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan yang melabel keputusan itu sebagai ‘black Friday’ atau sejarah hitam buat umat Islam dan negara.

Ketua Pembangkang Hamzah Zainudin pula berkata beliau akan memohon menghadap Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah selaku pengerusi Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) bagi menyerahkan memorandum khas susulan keputusan berkenaan.