‘Kami akan berusaha sedaya upaya bantu seniman’ – Fahmi
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, kerajaan Madani akan memastikan golongan yang terbabit dalam industri seni dan hiburan dibantu.
Beliau berkata demikian selepas tersentuh dengan nasib komposer terkenal, Ross Ariffin, 62, yang menjadi gelandangan lebih tiga tahun.
“Selagi saya berperanan sebagai menteri dan Kerajaan MADANI masih mentadbir, percayalah bahawa kami akan berusaha sedaya upaya membantu para seniman,” katanya.
Dalam masa sama, Fahmi memberitahu beliau mengajukan sendiri permohonan bagi mendapatkan kediaman Projek Perumahan Rakyat (PPR) kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa.
“Saya terbaca kisah Ross menjadi gelandangan dalam media sosial.
“Saya terpanggil untuk mengenalinya dengan lebih dekat untuk cuba membantu,” katanya dalam hantaran dalam Facebook, hari ini.
Menurutnya, beliau tersentuh dengan segala pengalaman pahit dan kesukaran yang dialami Ross sehingga terpaksa mengutip sisa makanan ditinggalkan atas meja, malah kadangkala berlapar kerana tiada makanan.
Fahmi juga kagum kerana komposer yang pernah mencipta lagu untuk artis popular seperti Datuk Seri Siti Nurhaliza, Ning Baizura, Jaclyn Victor dan Fauziah Latiff itu masih mempunyai minat mendalam untuk kembali berkarya.
“Ross mempunyai bakat sangat unik dan berupaya kembali menjadi sebahagian keluarga besar industri hiburan negara.
“Saya anggap ini adalah sebahagian tanggungjawab untuk membantu penggiat seni di negara kita,” ujarnya.
Ross atau nama sebenarnya, Roslan Ariffin Jamil pernah menyertai orkestra di London sebagai pemain biola dan aktif sebagai pemuzik undangan.
Fahmi menambah kementerian akan meneliti beberapa perkara dan cuba membantu untuk komposer berkenaan kembali berkarya.
Jelasnya, ia termasuk mengadakan perbincangan bersama RTM dan Pengarah Bahagian Perkhidmatan Muzik RTM, Datuk Mokhzani Ismail bagi membolehkan Ross bekerjasama dalam penciptaan lagu baharu.
Dalam pertemuan itu, Fahmi turut menzahirkan perasaan terharu melihat komposer berkenaan masih berbakat bermain alat muzik selepas berpeluang duduk di depan Grand Piano.