Keputusan kes Nik Elin perkukuh perundangan Islam

Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia menegaskan keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid sebagai satu pengukuhan terhadap perundangan Islam di negara ini.

Menerusi kenyataan hari ini, jabatan itu berkata, Mahkamah Persekutuan dalam penghakimannya menyatakan bahawa hukuman takzir dalam Mahkamah Syariah adalah selari dengan Kanun Keseksaan di Mahkamah Sivil.

Justeru, jelasnya, keputusan bagi kes Nik Elin Zurina lawan Kerajaan Negeri Kelantan itu menunjukkan bahawa telah wujud pengharmonian antara bidang kuasa sivil dan syariah.

Dalam masa sama, Jabatan Kehakiman Syariah menafikan dakwaan pihak tertentu kononnya kesalahan berkhalwat dan minum arak tidak termasuk dalam kategori kesalahan yang diisytiharkan oleh mahkamah sebagai tidak sah dan terbatal.

“Bagi kesalahan sumbang mahram, apabila mahkamah mengisytiharkan ia tidak sah dan terbatal, ia tidak bermakna sumbang mahram tidak lagi menjadi kesalahan bagi orang Islam di Kelantan.

“Ia tidak sah kerana undang-undang tersebut telah diperuntukkan dalam Kanun Keseksaan yang merupakan undang-undang Persekutuan,” menurut kenyataan itu.

Jika orang Islam di Negeri Kelantan melakukan kesalahan sumbang mahram, tegas Jabatan Kehakiman Syariah, kesalahan itu boleh dibicarakan di mahkamah sivil.