Laut terbelah di Langkawi

Beting pasir sepanjang 600 meter muncul di Pantai Tanjung Rhu, Langkawi selama satu jam 15 minit mulai 6.45 pagi tadi.

Fenomena laut terbelah itu muncul sekali dalam setahun selepas air laut di kawasan tersebut dilaporkan surut sehingga 0.1 meter (m).

Dijangka fenomena sama akan berulang esok mulai 7.30 pagi yang menarik perhatian pelancong dan penduduk tempatan.

Dilaporkan lebih 3,000 pengunjung menyaksikan fenomena laut terbelah pagi tadi.

Pengunjung antara lain dapat melihat habitat pelbagai hidupan marin.

Antaranya seperti tapak sulaiman, sotong kurita, kuda laut, siput kon dan obor-obor yang masih hidup terdampar atas pasir.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA), Datuk Haslina Abdul Hamid dan Pegawai Daerah Langkawi, Mohamad Subhi Abdullah berkata, keunikan fenomena itu mula diketengahkan sebagai produk pelancongan di Langkawi sejak empat tahun lalu.

“Dianggarkan 3,000 pengunjung terdiri penduduk tempatan dan pelancong tiba di sini seawal jam 6.30 pagi semata-mata bagi melihat sendiri fenomena air surut habis dan berjalan atas beting pasir sejauh 600m.

“Kejadian (beting pasir) ini dikatakan berlaku sejak lebih 19 tahun lalu, namun LADA mengambil inisiatif bekerjasama dengan sebuah hotel berhampiran dan mempromosinya sebagai aset pelancongan sejak empat tahun lalu,” katanya, dipetik BH.