Cadang bina hospital ihsan di Gaza, senarai kakitangan perubatan sudah ada

Satu cadangan pembinaan sebuah hospital ihsan dalam usaha membantu membangunkan semula Gaza pasca peperangan akan diketengahkan.

Menteri Kementerian Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, beliau sendiri akan membentangkan cadangan itu kepada Perdana Menteri dalam agenda pembinaan hospital itu.

“Insya-Allah, kita akan bersama-sama majukan dan bantu pembangunan semula Gaza selepas pasca peperangan ini dan berharap semua pihak bersama memastikan kejayaan pembangunan semula Gaza.

“KKM bersedia menyiapkan cadangan berkenaan kerana pastinya ia memerlukan dana.

“Saya akan bentangkan perkembangan ini dalam mesyuarat Kabinet akan datang, paling tidak nota kepada jemaah Menteri.

“Antara lainnya saya akan menyebutkan agenda Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) membangunkan semula Gaza.

“Saya perlu terangkan secara menyeluruh dan satu daripada agendanya pembinaan hospital ihsan yang dicadangkan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Makan Malam Amal untuk Gaza anjuran (MAPIM) di sini, malam tadi.

Dr Dzulkefly memaklumkan pembentangan nota itu akan dilakukan dalam waktu yang agak munasabah.

“Sebelum ke majlis ini, saya sudah maklum kepada Ketua Pengarah (KKM), akan bincang perkara ini,” ujarnya.

Dalam masa sama, beliau yang juga Ahli Parlimen Kuala Selangor berkata, pihaknya sudah mempunyai senarai pegawai dan kakitangan perubatan yang bakal ditempatkan di sana kelak.

“Jumlah yang tepat belum ditetapkan tetapi memang ada kesediaan kami untuk mendaftarkan doktor kita, mereka sentiasa bersedia untuk dipanggil.

“Senarai sudah ada dalam pangkalan data kami. Keperluan lain, dari sudut kesihatan, kepakaran surgeri lebih kepada pembedahan plastik dan perkara lain yang akan diperlukan,” jelasnya.

Beliau juga berkata, kehadirannya ke majlis berkenaan sebagai mewakili kerajaan Madani di bawah kepimpinan Anwar bagi memastikan bahawa apa yang dilaksanakan oleh MAPIM akan mendapat sokongan kerajaan.

“Tahniah kepada MAPIM juga semua dermawan yang memberikan sumbangan dalam agenda ini.

“Kira-kira RM30 juta yang dijana malam ini (11 Februari) termasuk lebih 20 negara luar seperti Singapura, New Zealand, Indonesia, United Kingdom, Bangladesh,” tambah Dr Dzulkefly lagi.

BACA JUGA Menewaskan Israel di Gaza: Sokongan simbolik ke substantif