Isu kes Nik Elin: Ini 6 desakan pakar Perlembagaan

Kerajaan khususnya Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan polis digesa mengambil tanggungjawab menguatkuasakan undang-undang Persekutuan berkaitan 16 peruntukan kesalahan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (1) Kelantan 2019.

Itu antara desakan pakar Perlembagaan, Prof Madya Dr Muhammad Fathi Yusof susulan keputusan Mahkamah Persekutuan pada 9 Februari lalu membatalkan 16 kesalahan syariah terbabit.

“Kerajaan juga perlu segera mewujudkan satu mekanisme penyelarasan penguatkuasaan jenayah antara pihak-pihak berkuasa agama dan polis.

“Ia agar keputusan kes Nik Elin tidak menyebabkan wujud kelompangan dalam penguatkuasaan undang-undang berkaitan kesalahan jenayah yang digugurkan dari enakmen jenayah syariah dan kesalahan-kesalahan lain yang wajar ditangani secara bersama,” jelasnya.

Profesor Madya Undang-Undang, Pusat Polisi Perdana, Fakulti Teknologi dan Informatik Razak, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) itu turut menggesa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI).

Beliau berharap MKI bertindak lebih pantas dan bertanggungjawab dalam usaha memartabatkan undang-undang Islam di negara ini, termasuklah dalam menangani implikasi keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes Nik Elin.

Sehubungan itu, pensyarah berkenaan mencadangkan MKI menubuhkan Jawatankuasa Khas Harmonisasi Undang-undang Persekutuan.

Penubuhan jawatankuasa itu, jelasnya, bagi menggerakkan usaha menerapkan prinsip Islam dalam sistem perundangan di peringkat Persekutuan secara sistematik dan strategik.

Dalam masa sama, Fathi turut menggesa semua pihak agar tidak menganggap perundangan Islam sebagai wilayah kekuasaan khusus pihak berkuasa negeri, tetapi sebagai satu amanah yang dipikul secara bersama di peringkat negeri dan Persekutuan.

Oleh itu, ujarnya, Kerajaan Persekutuan perlu diberi ruang seluas-luasnya untuk memperkenalkan undang-undang berteraskan Islam tanpa diikat dengan tapisan birokrasi yang melambatkan usaha memartabatkan syariat Allah di bumi Malaysia.

Tindakan keenam, beliau mencadangkan kesatuan dan kebersamaan seluruh umat Islam tanpa mengira perbezaan latar belakang politik dan pemikiran perlu menjadi keutamaan dalam memartabatkan perundangan Islam di Malaysia.

“Rundingan antara kerajaan negeri dan Persekutuan dengan mengetepikan sempadan politik demi kepentingan Islam amat-amat diharapkan,” katanya.

Muhammad Fathi menegaskan, definisi ‘jenayah Syariah’ menurut prinsip syariah yang sebenar adalah meliputi semua jenis jenayah kerana syariat Islam bersifat syumul atau menyeluruh.

“Justeru, kesalahan seperti rasuah, menculik, menipu, memukul, menyeleweng duit, merosakkan alam sekitar dan lain-lain adalah jenayah menurut syariah.

“Jadi, sempadan sebenar jenayah syariah untuk dibandingkan dengan jenayah sivil sebenarnya tidak wujud.

“Sempadan yang wujud, hakikatnya adalah sempadan di antara bidang kuasa negeri dan Persekutuan,” katanya.

Atas sebab itu, katanya, sudut pandangan perjuangan membela syariah perlu diperluaskan dan tidak terperangkap kepada istilah ‘syariah’ pada perkataan ‘Mahkamah Syariah’ dan istilah ‘undang-undang Islam’ di bawah bidang kuasa negeri dalam Butiran 1, Senarai Negeri, Jadual Kesembilan, Perlembagaan.

“Tanggungjawab melaksanakan undang-undang Islam hakikatnya berada pada kerajaan Persekutuan,” katanya.

Beliau juga mengingatkan agar perbincangan berkaitan kes Nik Elin tidak terlalu berbentuk meletakkan kesalahan kepada mana-mana pihak.

“Atau mengeluh dengan kuasa perundangan yang terhakis terutamanya di pihak kerajaan negeri.

“Apa yang perlu diutamakan ialah tindakan proaktif yang membuka jalan melaksanakan syariah yang lebih meluas di peringkat yang lebih besar,” tambah Fathi lagi.