Malaysia tuntut Israel hentikan serangan di selatan Rafah

Malaysia menuntut pengganas Israel menghentikan serangan besar-besaran ke atas bandar selatan Rafah di Gaza.

Kementerian Luar (Wisma Putra) dalam satu kenyataan hari ini turut mendesak Israel mematuhi segala peruntukan undang-undang antarabangsa.

Tegas Wisma Putra, serangan ke atas orang awam yang sedang mendapatkan perlindungan di kawasan itu disifatkan sebagai kejam dan tidak berperikemanusiaan.

Kanak-kanak ini antara ratusan rakyat Palestin yang cedera akibat pengeboman bertubi-tubi pengganas Israel di Rafah awal pagi ini.

Serangan tersebut, katanya, meningkatkan lagi ketegangan dan malapetaka kemanusiaan, selain akan merencatkan segala usaha menghentikan peperangan dan gencatan senjata yang berkekalan.

“Operasi ketenteraan yang berniat jahat ini dengan jelas memperlihatkan matlamat ulung rejim Zionis untuk menghapuskan rakyat Palestin dari tanah air mereka sendiri.

“Ia dengan secara sikap angkuh rejim Zionis membelakangkan prinsip undang-undang kemanusiaan antarabangsa dan jelas menghina keputusan Mahkamah Jenayah Antarabangsa pada 26 Januari mengenai enam tindakan sementara yang mesti diambil oleh Israel,” kata Wisma Putra.

Sekurang-kurangnya 50 serangan menyasarkan rumah dan masjid di Rafah hari ini.

Awal pagi ini, Israel mengebom bertubi-tubi 14 rumah dan tiga masjid di bahagian berbeza Rafah yang merupakan pusat penduduk utama terakhir di selatan Gaza yang masih belum dimasuki tentera pengganas.

Akibat pengeboman itu, sekurang-kurangnya 52 orang terbunuh, menurut Kementerian Kesihatan wilayah kendalian Hamas.

Mengulas lanjut, Wisma Putra berkata warga dunia tidak boleh membenarkan tindakan sedemikian berlaku secara terang-terangan tanpa sebarang tindakan.

Malaysia dalam masa sama menyokong seruan Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres dan mendesak Majlis Keselamatan PBB untuk mengambil tindakan berani menghalang malapetaka baharu oleh rejim Zionis.

Pengeboman gans Israel mengakibatkan ratusan orang terbunuh dan cedera di Rafah.

“Selain itu, menekan masyarakat antarabangsa melaksana tanggungjawab dan menghentikan sebarang sokongan kepada rejim yang secara terbuka mengabaikan segala usaha untuk meredakan ketegangan,” kata kementerian itu.

Tambahnya, Malaysia kekal dengan sokongan tidak berbelah bahagi terhadap perjuangan Palestin dalam mendapatkan kembali hak-hak mereka untuk berdiri sendiri.

Malaysia juga, kata Wisma Putra terus menyokong penubuhan Negara Palestin yang merdeka dan berdaulat mengikut sempadan pra-1967, dengan Baitul Maqdis Timur sebagai ibu negara Palestin dan diterima sebagai ahli anggota penuh PBB.

BACA JUGA Selepas lebih 105 hari genosid, rakyat Israel desak kerajaan Netanyahu berundur