Pemandu berbahaya tular direman esok
Seorang lelaki yang memandu kereta secara melulu dan berbahaya di Jalan Air Putih, Chukai, Terengganu akan direman esok pagi.
Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintenden Hanyan Ramlan berkata, permohonan reman terhadap suspek berusia lingkungan 30-an itu akan dibuat di Mahkamah Kemaman.
Dia ditahan pada jam 12 tengah hari tadi.
“Tular sebuah video di media sosial mengenai kejadian tersebut dipercayai berlaku di jambatan berdekatan Taman Alam Perdana, Jalan Air Putih, Chukai dekat sini yang berlaku jam 8.15 pagi pada 8 Februari lalu.
“Satu laporan polis telah dibuat dan lelaki tempatan itu ditahan untuk siasatan di bawah Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu, tular rakaman ‘dashcam’ memaparkan sebuah kereta jenis Volkswagen dipandu secara melulu dan berbahaya.
Tindakan memotong ketika terdapat sebuah kereta dari arah bertentangan melalui kawasan itu bahkan hampir menyebabkan kemalangan.