Datuk Sri dipenjara gagal lunas baki tunggakan gaji bola sepak

Bekas pemilik Kelab Kuantan FA serta Marcerra United menjadi individu pertama dalam sejarah Liga Malaysia (Liga M) disumbat ke penjara ekoran gagal melunaskan baki tunggakan gaji kepada bekas pemain pasukan itu.

Datuk Seri berkenaan dikenakan hukuman selama tujuh hari di Penjara Sungai Buloh.

Peguam bela yang mewakili 47 pegawai dan pemain pasukan berkenaan, Suhail Rahimi Abdul Razak berkata, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengeluarkan arahan untuk Datuk Seri itu menyelesaikan jumlah baki RM1.5 juta yang dipersetujui daripada jumlah keseluruhan RM3 juta pada 29 Januari bulan lalu.

Namun, mahkamah memberi ‘masa tambahan’ sehingga 9 Februari lalu tetapi individu berkenaan gagal menyelesaikannya.

Oleh sebab itu, pihak mahkamah sudah mengeluarkan satu waran tangkap kepada Datuk Seri berkuat kuasa pagi ini, 13 Februari.

Jelasnya, ini adalah kes saman sivil yang pertama dalam sejarah bola sepak di Malaysia yang membabitkan pemilik kelab yang culas membayar gaji kepada pemain mereka.

Tambahnya, kes ini bukan sesuatu yang mudah kerana ia mengambil masa hampir dua tahun untuk para pemain mendapatkan hak mereka meskipun individu berkenaan sudah melakukan bayaran sedikit demi sedikit dari jumlah secara keseluruhannya.

Bagaimanapun, Datuk Seri itu boleh dilepaskan dari hukuman penjara jika dia berjaya melakukan bayaran penuh.

Â