Selepas 8 tahun, Zaini Ujang kembali dilantik KSU KPT
Selepas lapan tahun, Datuk Seri Dr Zaini Ujang kembali dilantik sebagai Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).
Pakar bidang rawatan air berkenaan memulakan tugas rasmi bermula hari ini.
Menerusi kenyataan KPT, Zaini disambut oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar), Datuk Dr Megat Sany Megat Ahmad Supian.
Turut menyambut beliau ialah Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan dan Pembangunan), Mohamad Azhan Md Amir bersama-sama barisan pengurusan tertinggi kementerian itu.
“Sebelum mendengar taklimat berkenaan pencapaian, hala tuju dan pengoperasian KPT, Zaini turut bertemu dengan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir untuk melapor diri dan menerima amanat,” menurut kenyataan itu.
KPT memaklumkan ini adalan kali kedua Zaini menggalas jawatan sebagai KSU KPT selepas pertama kali dilantik pada 2013 hingga 2016.
Zaini, 59, pernah berkhidmat sebagai KSU di Kementerian Sumber Manusia, Kementerian Alam Sekitar dan Air dan terakhir di Kementerian Kesihatan sebelum lantikan baharu itu.
Beliau berkelulusan Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Kejuruteraan Alam Sekitar dari Universiti Newcastle serta mempunyai kepakaran dalam bidang rawatan air dan sisa.
Zaini juga pernah dilantik sebagai Naib Canselor Universiti Teknologi Malaysia (UTM) kelima dari 2008 hingga 2013.
BACA JUGA Sah, pesawat ringan terhempas di Kapar, Klang