Bekas penolong pegawai tadbir didakwa seleweng RM1 juta duit IPTS

Bekas penolong pegawai tadbir di sebuah institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) di Perlis didakwa menyeleweng wang hampir RM1 juta daripada institusi itu untuk tujuan peribadi.

Mahkamah Majistret Satu Kangar mengeluarkan perintah reman terhadap lelaki itu selama tiga hari sehingga 16 Februari hadapan bagi membantu siasatan.

Perintah reman itu dikeluarkan oleh Majistret Nurshahida Abdul Rahim.

Memetik Astro Awani, suspek berusia 33 tahun merupakan salah seorang daripada dua lelaki yang ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) secara berasingan jam 5.30 petang di pejabat SPRM Kuala Lumpur dan SPRM Perlis, semalam ketika diminta hadir memberi keterangan.

“Kedua-dua suspek dipercayai melakukan kesalahan itu dari 2022 hingga tahun lalu di mana suspek dipercayai menggunakan akaun peribadinya serta akaun rakan sekerjanya di IPTS itu yang juga suspek utama dalam kes ini sebagai akaun pindahan wang daripada akaun IPTS berkenaan membabitkan jumlah hampir RM1 juta.

“Dianggarkan lebih 50 transaksi dengan purata nilai sekitar RM20,000 hingga RM30,000 sebulan dipindahkan ke dalam akaun suspek itu.

“Selain itu juga, rakan kepada suspek yang berada dalam lingkungan 30an turut dipercayai menggunakan jawatan sebagai ‘Pegawai Khas’ kepada Ketua Pegawai Kewangan IPTS itu sebagai kuasa untuk memindahkan wang IPTS itu,” kata sumber seperti dilapor portal itu.

BACA JUGA Pemuda AMANAH kesal tindakan persenda mahkamah syariah, buat laporan polis