‘Undang-undang Islam dah mansuh’ – Pempengaruh PN

Seorang pempengaruh Perikatan Nasional (PN) yang menggunakan nama Dd Chronicles di media sosial, mendakwa undang-undang Islam sudah dimansuhkan di negara ini.

Menerusi parodi provokatifnya, dia dilihat mempermainkan keputusan Mahkamah Persekutuan minggu lalu yang membatalkan 16 peruntukan kesalahan di bawah Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019.

Dd Chronicles atau nama sebenarnya Dediy Sulaeman Ra’e, 44, dalam video berdurasi 3 minit 55 saat itu dilihat membuka “kaunter pengakuan Mahkamah Sivil pandu lalu”.

Dia yang menjaga ‘kaunter pandu lalu’ itu seolah-olah ‘didatangi’ tiga individu yang terlibat dalam tiga kesalahan iaitu pengambilan minuman keras, berjudi dan meliwat.

“Minum arak bukan satu kesalahan,” kata Dd.

Dia juga mengiyakan pertanyaan bahawa orang boleh minum arak asalkan tidak memandu sehingga menyebabkan kematian.

Bagi kesalahan berjudi iaitu beli nombor ekor, Dd berkata:

“Siapa cakap beli nombor ekor, salah? Itu Islam cakap (salah). Tapi (mahkamah) Sivil cakap kalau berlesen tak salah.

Sejurus ‘ditanyakan’ sama ada undang-undang Islam wujud atau tidak, Dd Chronicles yang pernah mengaku ibu bapanya adalah pemegang kad pengenalan merah menjawab:

“Dah mansuhlah, encik.”

“Takkan undang-undang kata boleh (main nombor ekor), kita nak lawan.”

Selain itu, Dd juga memberi komentar berhubung orang yang mengaku terlibat dalam kesalahan liwat.

“Namun, disebabkan encik mengaku (liwat), encik hanya perlu bayar RM50,000 sahaja.

“Nak penjara 20 tahun atau pun nak bayar 50,000?” tanya Dd kepada ‘individu’ yang telah mengaku liwat itu.

Untuk rekod, Dediy dikenali umum menerusi video lagu-lagu parodi termasuk memperleceh gabungan perpaduan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) serta menyuarakan sokongan kepada PN.

Susulan penyebaran video parodi itu, rata-rata warganet menyifatkan Dd Chronicles sudah melampaui batas dan menuntut menteri berkaitan tegas bertindak.

Dia dilihat mempermainkan hukum syarak, memperlekeh keputusan para hakim di Mahkamah Persekutuan serta tidak menghormati semangat Rukun Negara.

“Kenapa orang macam ini masih dibiar menyampaikan fakta yang salah pada masyarakat
@saifnasution

“Kat Tiktok pun ramai buat content macam ni masih takda apa-apa tindakan.

“Ini bukan kali pertama, dah banyak kali. Pihak berkuasa terlalu berlembut dengan mereka.

“Malang tak berbau kalau pihak berkuasa tidak mengambil tindakan secepat mungkin,” demikian antara komentar netizen.

BACA JUGA Pemuda AMANAH kesal tindakan persenda mahkamah syariah, buat laporan polis