Video peguam muda ini perjelas isu Nik Elin dapat lebih 5 juta tontonan
Di tengah-tengah kehangatan isu Nik Elin Zurina lawan kerajaan Kelantan yang sedang hangat dibincangkan, penerangan ringkas seorang peguam muda ini di aplikasi TikTok meraih perhatian ramai.
Video yang dimuat naik peguam dan juga pempengaruh, Tun Laila Tun Rafaee kini mendapat lebih 5 juta tontonan selepas penjelasannya mengenai pembatalan 16 kesalahan syariah dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019, tular di sosial media.
Dalam penerangan tersebut, peguam berusia 26 tahun itu menjelaskan bahawa apa yang berlaku adalah melibatkan pertindihan antara undang-undang yang dikuatkuasakan di peringkat Persekutuan dan di peringkat negeri.
Undang-undang di peringkat kerajaan negeri, disebut sebagai Enakmen. Manakala undang-undang di peringkat Persekutuan disebut sebagai Kanun Keseksaan.
Menurutnya, ia sama sekali tidak berkait dengan isu mencabar Islam mahupun mahkamah syariah kerana hakikatnya undang-undang yang dicabar adalah undang-undang yang digubal oleh manusia.
“This is nothing against our religion. Aku bukan musuh Islam. This is not about syariah or mahkamah syariah. Ini adalah tentang pertindihan antara undang-undang negeri dan undang-undang Persekutuan.
“Kes ini didengar di hadapan 9 Hakim. Paling menarik, Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun tak setuju bila peguam kerajaan negeri Kelantan kata kes ini akan mengkafankan Mahkamah Syariah. Tidak ya.
“Mahkamah Syariah masih berjalan macam biasa. Enakmen lain dalam Mahkamah Syariah masih berjalan. Cuma 16 Enakmen yang dicabar itu terbatal sebab ia di bawah bidang kuasa Parlimen.
“Ini cuma tentang teknikal, dan pertindihan undang-undang,” jelasnya panjang.
Tun Laila merupakan seorang pengamal undang-undang sejak Oktober tahun lalu.
Dia menamatkan pengajian undang-undang di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Selangor, dan didaftarkan sebagai peguam oleh Mahkamah Tinggi Malaya tahun lalu setelah menamatkan tempoh chambering selama sembilan bulan.
BACA JUGA Pihak cabar undang-undang negeri tidak menentang Allah – Tengku Maimun