Dakwaan mahkamah sivil mahkamah kafir boleh jahanamkan negara, kata Mufti Perlis

Mufti Perlis Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin menyifatkan pihak tertentu cuba menggambarkan bahawa ada pertembungan di antara mahkamah syariah dan sivil sehingga mendakwa mahkamah sivil sebagai mahkamah kafir.

“Dia buat seolah-olah (berlaku) pertembungan seolah-olah mahkamah syariah mahkamah Islam dan mahkamah sivil mahkamah kafir. Fahaman ini kalau tidak dibendung akan menjahanamkan negara,” kata Dr Maza.

Beliau turut menjelaskan lebih 90 peratus perkara dalam penentuan kadar undang-undang Islam dibuat di bawah takzir.

“Undang-undang jalan raya, adakah undang-undang Islam dan tak Islam? Tak ada. Mahkamah sivil yang buat siapa langgar lampu merah. Boleh tak dari segi Islam? Adakah itu mahkamah kafir kalau buat? Tak dia tak kafir.

“Tindakan imam dibina atas maslahah. Umpamanya kita kerajaan. Mahkamah tak benarkan kita buat rumah tepi lebuhraya.

“Ini semua pemerintah tentukan. Rasuah dalam Islam dilaknat tapi tak beritahu hukuman. Boleh sebat perasuah? Boleh.

Asri turut menjelaskan salah faham berkenaan hukuman sebat yang dikatakan tidak mencederakan.

“Orang kata sebat dalam Islam tak sama sivil. Sebat dalam Islam tak mencederakan, tak keluar kulit. Ini tak benar.

“Sebat tu sebat zina. Untuk rasuah, sebat hukuman takzir,” katanya.

Beliau berkata demikian susulan polemik yang timbul selepas Mahkamah Persekutuan membatalkan 16 peruntukan dalam Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Kelantan (I) 2001.

Asri turut berkata bahawa sebahagian besar undang-undang sivil memenuhi keperluan syariah. Beliau turut berkata ada peruntukan mahkamah syariah yang bukannya berasal dari syariah

“Hukum suami yang kahwin kedua tanpa izin isteri pertama, adakah syariah? Tak ada.

“Kalau dasar maslahah kena samakan dengan sivil saja.”