Kategori beras putih tempatan, import dimansuhkan
Kerajaan memansuhkan kategori beras putih tempatan (SST) dan beras putih import (SSI) digantikan dengan beras putih Malaysia Madani.
Beras putih Malaysia Madani akan dijual pada harga RM30 bagi kampit 10kg berkuat kuasa 19 Feb dan pengguna boleh mendapatkannya di pasaran bermula 1 Mac ini.
Pengumuman itu dibuat Ahli Parlimen Bukit Gantang, Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal, yang kini mengetuai jawatankuasa berkaitan isu menangani harga makanan dan kos sara hidup bawah Mesyuarat Khas Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (Naccol).
“Pengguna boleh mendapatkan bekalan beras putih berharga RM30/kampit di pasaran mulai 1 Mac.
“Tempoh 19 Feb hingga 1 Mac berikutan mengambil masa untuk dijual di pasaran,” katanya pada sidang media.
Syed Hussin berkata, cadangan itu dikemukakan kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan dipersetujui untuk dilaksanakan.
“Saya telah diberi amanah sebagai jawatan (Naccol) untuk menyelesaikan sedikit-sebanyak kos sara hidup ini (dan) saya kena buat tindakan pantas. Ini pengumuman,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata bagi beras putih Malaysia Madani untuk kampit 5kg akan dijual pada harga RM15.50 dan 1kg RM3.50.
Katanya, dengan itu ia memberi peluang kepada petani dan pesawah selesa dengan harga siling beras yang diumumkan berbanding hanya RM2.50 sebelum ini.
“Ini memberi ruang selepas 18 tahun harga beras tidak naik. Industri juga boleh ‘survive’ dengan harga RM30 untuk 10kg,” katanya.
Syed Hussin berkata, kerajaan turut membenarkan bungkusan lama dipakai tetapi mesti dipotong dan ditampal dengan pelekat RM30.