Pemimpin utama Aman Palestin didakwa hari ini
Antara tiga hingga lima pemimpin kanan Aman Palestin Berhad akan didakwa di mahkamah hari ini berkaitan dengan penyalahgunaan sumbangan awam.
Menurut sumber, antara yang akan didakwa adalah Pengerusi Eksekutifnya Abdullah Zaik Abdul Rahman, Ketua Pegawai Eksekutif dan pengarah syarikat yang berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) itu.
Sebelum ini, 41 akaun bank bernilai RM15,868,762 milik badan itu dibekukan ekoran siasatan yang dibuat oleh Suruhanjaya Pencegahyan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadapnya.
SPRM dikatakan turut menyiasat pembelian jongkong emas oleh Aman Palestin.
Pertubuhan itu sebelum ini memberitahu SPRM ia adalah kaedah untuk menghantar bantuan kepada Palestin.
Menurut sumber, antara sasaran siasatan SPRM adalah penggunaan dana yang dikutip untuk membantu rakyat Palestin tetapi digunakan untuk perkara lain termasuk membuka syarikat media.
Ia termasuklah TV Pertiwi yang selalu digunakan untuk menyebarkan idealogi badan ini yang bernaung di bawah sebuah pertubuhan agama.
Hampir kesemua pemimpin Aman Palestin Berhad adalah bekas atau pemimpin Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), satu pertubuhan Islam yang berpusat di Bangi yang memperjuangkan ideologi Islam Melayu.
Pengerusi Eksekutifnya, Abdullah Zaik adalah bekas Presiden Isma.
Mufti Perlis, Datuk Dr Asri Zainol Abidin antara yang awal membangkitkan soal kutipan dana badan ini sehingga memberikan arahan agar Aman Palestin tidak boleh mengutip sebarang derma di Perlis.
Peguam mewakili Aman Palestin, Muhammad Rafique Rashid Ali, dipetik berkata tindakan itu akan dilakukan selaras Seksyen 44A Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFAPUAA) 2001.
BACA JUGA Aman Palestin officials to face five charges tomorrow