PM doakan Sarimah, Dharma Harun diberi perlindungan dan kekuatan

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendoakan seniwati Datuk Sarimah Ahmad dan seniman Dharma Harun Al-Rashid diberikan perlindungan dan kekuatan.

Menerusi hantaran di Facebook, beliau memberitahu tentang ziarah Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Ahmad Farhan Fauzi di kediaman mereka hari ini.

Menurutnya, kedua-dua figura yang pernah terkenal di pentas layar perak negara menerusi karya masing-masing, kini diuji dengan musibah penyakit yang amat mengesankan.

Dharma Harun Al-Rashid

“Dalam pertemuan ini, saudara Farhan turut menyampaikan sumbangan daripada pihak saya bagi membantu urusan harian dan perubatan mereka.

“Saya mendoakan mereka berdua dikurniakan afiyah serta sentiasa diberikan kekuatan untuk meneruskan kehidupan bersama keluarga tercinta, insya-Allah,” katanya.

Sarimah, 82, pernah menghidap kanser usus tahap tiga pada 2022 dan kini, bebas dan pulih daripada penyakit itu selepas menjalani pembedahan.

Beliau antara pelakon legenda filem klasik sezaman Seniman Agung, Allahyarham Tan Sri P Ramlee dengan membintangi naskhah antaranya, Ali Baba Bujang Lapok, Madu Tiga, Ibu Mertuaku, dan Tiga Abdul.

Dharma Harun, 68, masih mengalami beberapa kesan sampingan seperti kesukaran bertutur dan mengingati sesuatu termasuk menghidap asma selepas diserang angin ahmar pada 2020.

BACA JUGA Anwar beri jaminan bantuan rakyat akan disalurkan