PM mahu Cina, India sertai Kongres Ekonomi Bumiputera 2024

Penyertaan masyarakat Cina dan India dalam Kongres Ekonomi Bumiputera 2024 pada akhir bulan ini akan menjadikannya lebih inklusif.

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan mengambil sikap terbuka dalam menangani beberapa isu bersama walaupun kongres itu memberikan tumpuan kepada masalah dihadapi Bumiputera.

Menurut Perdana Menteri, kongres tersebut tidak akan mempertahankan masalah salah guna atau tumpuan kepada kroni atau keluarga tertentu, sebaliknya kesediaan untuk mengemukakan cadangan baharu.

“Pendekatan kita dalam hal Kongres Ekonomi Bumiputera lebih inklusif. Maknanya kita mahu penyertaan daripada masyarakat Cina dan India.

“Saya harap ACCIM (Gabungan Dewan Perniagaan dan Dewan Perindustrian Cina Malaysia) bersedia berbincang kerana pendekatan kita inklusif.

“Maknanya dalam membicarakan ekonomi bumiputera, ada isu-isu SME (Perusahaan Kecil dan Sederhana) atau kelompok India miskin akan kita tangani bersama, jadi pendekatan agak berbeza,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina 2024 anjuran Gabungan Dewan Perniagaan Dan Perindustrian Cina Malaysia (ACCCIM) di Kuala Lumpur hari ini.

Kongres Ekonomi Bumiputera 2024 dijadual pada 29 Februari sehingga 2 Mac di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) dengan tumpuan kepada 10 kluster utama.

BACA JUGA Kongres Ekonomi Bumiputera dianjurkan selama tiga hari