Indonesia Memilih: Semua pengkaji letakkan Prabowo di depan

Calon presiden Indonesia, Prabowo Subianto, dan pasangannya, Gibran Rakabuming Raka, yang merupakan anak Presiden Jokowi, mendahului pesaing mereka dalam pilihan raya 14 Februari, menurut pengiraan pantas tidak rasmi.

Sekitar 8 malam 14 Februari, agensi pengundian Poltracking Indonesia memberikan pasangan Prabowo-Gibran 59.17 peratus undi, berdasarkan 75 peratus undi sampel yang dikira.

Mantan gabenor Jakarta, Encik Anies Baswedan, dan ahli politik kanan, Encik Muhaimin Iskandar, pula memperoleh 24.50 peratus undi, menurut The Straits Times, sementara mantan gabenor Jawa Tengah, Encik Ganjar Pranowo, dan mantan menteri undang-undang dan keselamatan, Encik Mahfud MD, peroleh 16.34 peratus.

Institut Penyelidikan Kajian Indonesia (LSI) pula menyatakan pasukan Prabowo-Gibran meraih 56.99 peratus undi, berdasarkan 60 peratus undi contoh yang dikira. Pasangan Anies-Muhaimin memperoleh 25.73 peratus manakala pasukan Ganjar-Mahfud memperoleh 17.28 peratus.

Sementara itu, Indikator Politik Indonesia juga meletakkan pasangan Prabowo-Gibran di hadapan saingan, dengan 58.03 peratus undi, berdasarkan 60 peratus undi contoh yang dikira. Pasukan Anies-Muhaimin memperoleh 25.48 peratus dan pasukan Ganjar-Mahfud memperoleh 16.49 peratus.

Perlembagaan Indonesia menyatakan bahawa calon presiden memerlukan majoriti mudah – atau lebih daripada 50 peratus – undi untuk menang. Mereka juga perlu memperoleh sekurang-kurangnya 20 peratus undi di separuh (19) daripada 38 wilayah Indonesia.

BACA JUGA Prabowo leads with over 50% votes in preliminary counts