47 saksi pendakwaan dalam kes Adam Radlan

Seramai 47 saksi pendakwaan akan dipanggil dalam kes rasuah dan pengubahan wang haram (AMLA) dihadapi Timbalan Ketua Bahagian Bersatu Segambut Adam Radlan Adam Muhammad.

Perkara ini diberitahu oleh Timbalan Pendakwa Raya, Farah Yasmin Salleh kepada hakim mahkamah sesyen Suzana Hussin.

Menurutnya saksi-saksi ini akan memberi keterangan berdasarkan pernyataan saksi dan dokumentasi bagi semua kes terbabit telah pun diserahkan kepada pihak pembelaan.

“Mahkamah sebelum ini menetapkan Jumaat untuk sebutan kes bagi status pertuduhan di bawah pengubahan wang haram untuk dibicarakan bersama dengan pertuduhan predikat.

“Susulan itu, kami memohon kes terbabit dibicarakan bersama kerana ia berkaitan transaksi yang sama,” katanya.

Farah Yasmin memaklumkan, pihak pendakwaan turut bertanya kepada pihak pembelaan berhubung sama ada penyataan saksi boleh diserah 14 hari sebelum saksi memberi keterangan.

Sebutan semula kes pada 27 Mac depan ditetapkan untuk status dokumentasi sebagai persediaan bicara dan arahan lanjut berkaitan penyataan saksi.

Sebelum ini, perbicaraan kes ditetapkan selama 15 hari pada 27 hingga 29 Mei, 10 hingga 12 Jun, 9 hingga 11 Julai, 22 hingga 24 Julai dan 5 hingga 7 Ogos 2024.

Adam Radlan berdepan lima tuduhan rasuah termasuk menerima rasuah sebanyak RM4.1 juta berhubung projek Jana Wibawa.