AMK pula buat laporan polis terhadap DD Chronicle

Angkatan Muda Keadilan (AMK) telah membuat laporan polis terhadap pempengaruh DD Chronicle yang menerbitkan satira berkaitan keputusan Mahkamah Persekutuan yang mengisytiharkan 16 peruntukan di bawah Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (I) Kelantan 2001 sebagai tidak sah.

“Lakonan DD Cronicle tersebut bukanlah satu parodi/satira tetapi dibuat sengaja untuk
menyentuh sensitiviti kaum dan agama yang jelas salah di bawah Seksyen 298A Kanun
Keseksaan iaitu menyebabkan di atas alasan-alasan agama, suasana tidak harmoni, perpecahan, atau perasaan permusuhan, benci membenci atau niat jahat, atau memudaratkan pemeliharaan keadaan harmoni atau perpaduan,” kata ketua penerangan AMK Malaysia, Nabil Halimi.

Mereka membuat laporan tersebut di ibu pejabat polis daerah Cheras petang tadi.

“Laporan polis ini turut dibuat bagi melindungi kesejahteraan dan keharmonian agama
serta menyahut titah baginda Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah di MKI ke-71 agar menghormati keputusan Mahkamah Persekutuan.

“AMK berpendirian bahawa permohonan maaf daripada DD Cronicle adalah tidak cukup untuk kesalahan besar yang mampu mencetuskan amarah dari rakyat terhadap institusi kehakiman,” tambah Halimi.

Sebelum ini Pemuda AMANAH turut membuat laporan polis terhadap DD Chronicle kerana sebab sama.