Anwar hadiri mesyuarat tertutup Majlis Pimpinan Negeri PKR malam tadi

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menghadiri mesyuarat tertutup bersama Majlis Pimpinan Negeri PKR Pulau Pinang, Kedah dan Perlis di Seberang Jaya malam tadi.

Presiden PKR mengadakan pertemuan itu secara berasingan mengikut negeri namun tiada perincian diberikan mengenai sesi tersebut, lapor Bernama.

Beliau diiringi Ketua Penerangan Fahmi Fadzil dan Ketua Wanita Fadhlina Sidek.

Anwar, yang akan mengadakan lawatan ke Pulau Pinang esok, mempunyai jadual padat dengan kunjungan ke Jualan Termurah MADANI di Bandar Perda pada sebelah pagi sebelum ke Persidangan Antarabangsa Zakat di Universiti Sains Malaysia.

Beliau kemudian dijadual menunaikan solat Jumaat dan menghadiri kenduri rakyat di Masjid Jamek Tengah Berapit, Permatang Pauh.

Selepas itu, Anwar akan merasmikan Karnival Pemerkasaan Kesalinghubungan dan Pembangunan Usahawan Pulau Pinang di Politeknik Seberang Perai sebelum mengakhiri lawatan beliau ke Majlis Pecah Tanah di Taman Perindustrian Batu Kawan.